top of page

Wujudkan sistem digital jejak rantaian bekalan ayam halal - Fuziah

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
5 hours ago
2 min read
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh

Melalui pendekatan ini, pengguna berpotensi membuat semakan terhadap maklumat penting seperti lokasi pusat penyembelihan, status pensijilan halal, rekod pematuhan serta rantaian pengedaran sesuatu produk melalui kod QR atau sistem pengesahan digital - Dr Fuziah

Kerajaan perlu meneroka pembangunan sistem kebolehkesanan digital bagi membolehkan pengguna mengesan sumber asal dan rantaian bekalan produk ayam di pasaran sekali gus memperkukuh keyakinan umat Islam terhadap integriti bekalan makanan halal negara.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, penggunaan teknologi seperti kod QR membolehkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan lokasi penternakan dan penyembelihan, status pensijilan halal serta pihak yang menguruskan pemasaran dan pengedaran produk.


"Melalui pendekatan ini, pengguna berpotensi membuat semakan terhadap maklumat penting seperti lokasi pusat penyembelihan, status pensijilan halal, rekod pematuhan serta rantaian pengedaran sesuatu produk melalui kod QR atau sistem pengesahan digital," katanya dalam kenyataan di media sosial.


Beliau mengulas keperluan memperkukuh integriti bekalan ayam halal susulan isu ketidakpatuhan penyembelihan mengikut syarak dan kebersihan yang dikesan dalam operasi bersepadu KPDN bersama agensi berkaitan di sebuah premis penyembelihan ayam di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru baru ini.


Menurut Fuziah, usaha memastikan integriti bekalan ayam halal tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan apabila sesuatu pelanggaran dikesan sebaliknya memerlukan sistem pemantauan lebih menyeluruh.


"Isu integriti penyembelihan ayam dan pematuhan halal yang timbul kebelakangan ini perlu diberikan perhatian serius kerana ia menyentuh sensitiviti agama serta keyakinan umat Islam terhadap bekalan makanan halal di negara ini," katanya.


Beliau berkata antara perkara asas yang perlu dipastikan ialah setiap pusat penyembelihan mempunyai pendaftaran dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), pengiktirafan atau pensijilan halal serta tukang sembelih yang mempunyai kelayakan dan mengikuti kursus penyembelihan ditetapkan.


Bagaimanapun katanya pematuhan terhadap syarat itu perlu disokong mekanisme pengesanan berkesan bagi memastikan integriti proses penyembelihan terus terpelihara sehingga produk sampai kepada pengguna.


"Melalui sistem itu, pengguna boleh mengetahui rantaian bekalan, sebagai contoh di mana ayam tersebut diternak dan disembelih, siapa yang menguruskan pemasaran atau pengedaran sehingga tiba ke pasar raya atau premis jualan," katanya.


Fuziah mengakui belum terdapat mekanisme menyeluruh yang membolehkan pengguna membuat pengesanan sedemikian bagi setiap produk ayam yang dijual di pasaran.


"Pada masa ini belum terdapat satu mekanisme menyeluruh yang membolehkan pengguna membuat pengesanan sedemikian bagi setiap produk ayam yang dijual di pasaran.


"Saya percaya perkara ini bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan sekiranya terdapat komitmen dan kerjasama semua pihak," ujarnya.


Tambah beliau pendekatan halalan toyyiban perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada produk ayam sembelihan sebaliknya turut merangkumi pengesahan status halal, sumber asal serta pematuhan sepanjang rantaian bekalan.


"Saya melihat penggunaan teknologi ini sebagai satu ruang penambahbaikan yang wajar diterokai bersama untuk memastikan setiap produk sembelihan yang dipasarkan mempunyai rantaian bekalan yang boleh dijejaki, disahkan dan dipertanggungjawabkan.


"Ini adalah antara usaha yang boleh kita pertimbangkan bagi memperkukuh ekosistem halal negara dan mengembalikan keyakinan umat Islam terhadap bekalan ayam di pasaran," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page