PM respons hantaran guru tunjuk kemudahan baharu, netizen puji KPM


Hantaran seorang individu dipercayai guru yang berkongsi kemudahan baharu diterima di sekolahnya mencuri perhatian di Threads apabila mendapat respons daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran yang dimuat naik pengguna Threads, @cikguym, individu berkenaan menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI susulan beberapa kemudahan baharu yang disediakan untuk keselesaan warga pendidik.
Antara kemudahan yang diterima termasuk penyaman udara, kerusi baharu, tempat berwuduk di bilik rehat guru perempuan serta rak buku.
"Alhamdulillah.. terima kasih Kerajaan MADANI.
"Penyaman udara, kerusi baharu, tempat berwuduk di bilik rehat guru perempuan dan rak buku.
"Sekolah korang? Dapat apa?" tulisnya.
Hantaran itu mendapat perhatian Anwar yang meninggalkan komen ringkas dengan mendoakan agar kemudahan berkenaan dapat membantu guru menjalankan tugas dalam suasana lebih baik.
"Alhamdulillah. Semoga dapat berkhidmat dalam keadaan lebih baik dan selesa," respons beliau.

Perkongsian berkenaan kemudian dibanjiri komen pengguna Threads yang rata-ratanya berkongsi keterujaan melihat penambahbaikan kemudahan di sekolah, khususnya ruang bilik guru yang kini dilengkapi perabot dan kelengkapan lebih selesa.
Malah, seorang pengguna, @ummualfatih99 turut berkongsi pandangan mengenai keadaan bilik guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labis yang disifatkannya cantik selain mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak kerajaan.
"Sebab itu saya selalu cakap hasil negara kena kembalinya kepada rakyat bukan masuk akaun peribadi mcm the plundering idiot," komen beliau.
Tidak kurang juga pengguna lain yang berkongsi pengalaman apabila sekolah masing-masing menerima kelengkapan baharu selepas sekian lama menggunakan kemudahan lama.
Seorang pengguna, @ynasarina, memaklumkan sekolahnya di Tawau turut menerima meja dan kerusi baharu untuk guru.
Bagaimanapun, katanya masih terdapat beberapa kemudahan sekolah yang berada dalam keadaan uzur termasuk bangunan blok kayu yang tidak lagi boleh digunakan dan masih menunggu peruntukan untuk kerja pembaikan.
Dalam pada itu, ruangan komen turut menyaksikan perbincangan mengenai kepentingan pengurusan kewangan negara secara beramanah supaya peruntukan dapat disalurkan kembali kepada rakyat melalui penambahbaikan kemudahan awam.
Seorang pengguna, rose_mawar777 memberikan respon positif terhadap kecekapan kerajaan menggunakan peruntukan untuk meningkatkan kemudahan asas di sekolah.
"Bagus kan.. harap ramai cikgu support la pmx next term," ujarnya.
Seorang lagi pengguna, mypurplehana berkata pelbagai kemudahan di sekolah tersebut ditambah baik dalam tempoh tidak sampai sepenggal pentadbiran kerajaan Madani.
'...sekolah dan fasiliti awam. Reka bentuk sekolah-sekolah baru pun cantik je. Kalau dari dulu DSAI jadi PM, semua masalah rakyat dapat diatasi. Entah-entah dah jadi negara maju," katanya.
"Cikgu tolong educate masyarakat setempat ye. Undi la yang buat kerja, cukupla sentimen2 perkauman ni. Tq cikgu," ujar nia_mashler pula.
Selain itu, seorang pengguna, @aishahnurhakim, turut memuji keadaan bilik guru yang kelihatan cantik dan kemas selain berharap ruang berkenaan dapat memberikan keselesaan kepada warga pendidik.
Malah, dia secara berseloroh mencadangkan agar bilik guru itu mengekalkan konsep minimalis tanpa hiasan berlebihan.
"Alhamdulillah cantiknya. Semoga cikgu selesa. Jangan letak ropol-ropol tau cikgu. Biar clean and minimalist. Mesti tenang," tulisnya.
Sementara itu, @aediabadi pula berpandangan penambahbaikan kemudahan bukan sahaja dapat dilihat di sekolah malah turut melibatkan infrastruktur awam apabila semakin banyak jalan utama dan jalan kampung dilengkapi lampu solar.
Ada juga pengguna seperti @aafidaazubir yang berpendapat pengurusan peruntukan secara baik mampu memberikan kesan positif kepada pelbagai sektor.
Bagaimanapun, beberapa netizen turut mengingatkan bahawa masih terdapat sekolah yang berdepan masalah kemudahan daif, khususnya di kawasan pedalaman.
Pengguna @faranhana.ig, misalnya, berharap kemudahan selesa seperti yang dikongsikan itu dapat dinikmati lebih banyak sekolah dan tidak hanya tertumpu kepada institusi tertentu.




Comments