MB Johor dikritik, mengapa jawapan UMNO Johor kaitkan institusi diraja?
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

UMNO Johor didakwa gagal menjawab isu sebenar berkaitan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebaliknya memilih berselindung di sebalik sentimen negeri dan institusi diraja.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata kenyataan Ketua Penerangan UMNO Johor baru-baru ini yang membidas beliau, tidak menjawab persoalan utama yang dibangkitkan.
"Saya bertanya satu soalan yang mudah. Apabila Perdana Menteri menegur Menteri Besar Johor dalam konteks politik dan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, mengapa jawapan yang diberikan perlu dimulakan dengan membawa nama serta peranan Institusi Diraja Johor?" katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mahfuz, UMNO Johor sebaliknya menyerang beliau sebagai “orang luar Johor” dan tidak memahami budaya negeri itu tanpa menjawab isu sebenar.
"Ini menunjukkan UMNO Johor sendiri tidak mempunyai jawapan terhadap persoalan yang dibangkitkan," katanya.
Mahfuz menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempertikaikan institusi diraja, malah menghormati peranan Sultan Johor dan Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, beliau berpandangan institusi tersebut tidak sepatutnya dibawa ke dalam polemik politik kepartian.
"Apa yang saya persoalkan ialah tindakan ahli politik yang memilih untuk mengaitkan institusi diraja ketika menjawab kritikan politik terhadap dirinya," ujar beliau.
Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempersoalkan sama ada Menteri Besar Johor mampu menjawab kritikan berdasarkan prestasi pentadbiran dan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tanpa membawa institusi lain ke dalam perbahasan tersebut.
Tambah beliau, kenyataan UMNO Johor juga tidak menyentuh isu sebenar yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri berkaitan sikap dan hubungan politik.
"Mereka mempertahankan Menteri Besar Johor daripada segala sudut kecuali sudut yang sedang dipersoalkan oleh rakyat.
"Ini membuktikan bahawa UMNO Johor sebenarnya sedang mempertahankan individu, bukannya menjelaskan isu," katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz mengingatkan bahawa menghormati institusi diraja dan menggunakan sentimen berkaitan untuk menutup perbahasan politik adalah dua perkara berbeza.
Beliau menegaskan bahawa institusi raja perlu terus dipelihara dan dijauhkan daripada polemik politik.
"Jika UMNO Johor benar-benar mahu mempertahankan Menteri Besar Johor, jawablah persoalan yang dibangkitkan.
"Jangan lari daripada isu. Jangan tukar tajuk perbahasan," katanya lagi.
Kelmarin Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah membidas Mahfuz dan menyifatkan kenyataan beliau sebagai cubaan membina naratif mengelirukan rakyat semata-mata untuk meraih perhatian politik.
Sebagai pemimpin politik luar Johor, katanya, Mahfuz sepatutnya memahami budaya, sejarah dan sistem pentadbiran Johor terlebih dahulu sebelum mengkritik.




Comments