top of page

MB Anak Tempatan: Prestasi Amirudin Cemerlang Berbanding Sanusi

Updated: May 15, 2023



Oleh: Mohd Fauzi Fadzil


ULASAN: Keceluparan Menteri Besar Negeri Kedah iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah melebihi batas apabila mempersoalkan keputusan dan kepintaran yang dibuat oleh rakyat dan institusi istana di negeri Selangor yang telah memilih Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar. Sanusi mempersoalkan keputusan tersebut atas dasar Datuk Seri Amirudin tidak dilahirkan di Selangor tetapi mendapat mandat untuk memimpin negeri tersebut.


Isu ini telah dijawab oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Izuan Kasim bahawa tiada logiknya melihat kewibawaan kepimpinan melalui tempat asal kelahiran pemimpin. Perkara paling penting adalah kebolehan dan kewibawaan pemimpin tersebut yang diterima oleh masyarakat tempatan. Jika Sanusi menjadikan isu ini sebagai asas pemilihan pemimpin, justeru beliau harus menggesa kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) untuk mengarahkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang kini merupakan Ahli Parlimen kawasan Kota Bharu untuk melepaskan jawatan beliau dan pulang bertanding di Kedah.


Arkitek Selangor negeri pintar


Datuk Seri Amirudin Shari telah mengambilalih kepimpinan Selangor selaku Menteri Besar bermula pada tahun 2019 dan beliau ternyata cemerlang melonjakkan prestasi negeri tersebut. Belanjawan pertama yang digagaskan oleh Datuk Seri Amirudin pada tahun 2020 telah meletakkan visi yang jelas berkenaan halatuju pentadbiran negeri. Beliau pada masa itu telah menggagaskan agar Selangor menjadi Premier Smart State (negeri pintar ulung) menjelang tahun 2025. Langkah tersebut dimulakan dengan pembinaan sebuah command centre yang dinamakan sebagai Smart Selangor Operations Centre dan telah siap dibina sejak tahun 2021.


Negeri Selangor di bawah kepimpinan Datuk Seri Amirudin telah menjadi negeri pertama di Malaysia yang membentangkan rancangan jangka sederhana bagi tempoh lima tahun untuk merancang dan mengkoordinasi pembangunan sosio-ekonomi berimpak tinggi, iaitu Rancangan Selangor Pertama (RS1). Setakat kini tiada lagi kepimpinan kerajaan negeri di Malaysia (termasuk Sanusi) yang mempunyai visi jauh dalam merangka pembangunan dan pentadbiran kerajaan masing-masing selain Negeri Selangor. RS1 yang menjadi pemandu arah kepada pentadbiran kerajaan Selangor untuk tempoh masa 5 tahun memberi fokus terhadap pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, selain sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.


Penyumbang utama KDNK negara


Datuk Seri Amirudin berjaya mengekalkan prestasi Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2021 dengan sumbangan sebanyak 24.8%. Negeri Selangor antara negeri yang kekal mendahului negeri lain di Malaysia dengan nilai KDNK berjumlah RM343.5 bilion pada 2021, malah sehingga tahun 2022 rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor adalah melebihi tiga billion ringgit. Kesemua angka tersebut membuktikan kewibawaan dan keupayaan Datuk Seri Amirudin untuk terus mengemudi Kerajaan Negeri Selangor ke arah kegemilangan pada masa hadapan.

Mohd Fauzi Fadzil

Secara kesimpulannya, tuduhan yang dilemparkan oleh Sanusi terhadap Datuk Seri Amirudin adalah satu cubaan terdesak untuk mencalarkan imej dan kecemerlangan pemerintahan beliau di Negeri Selangor. Kadang-kala dalam keghairahan menuding jari kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, Sanusi seakan-akan lupa kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri yang beliau kuasai.


Isu kelemahan pengurusan air di Kedah telah menjadi isu hangat walaupun cuba dinafikan. Hanya di Negeri Kedah rakyat telah memberontak secara terbuka semasa perayaan Aidilfitri tahun 2023 apabila bekalan air gagal disalurkan di sebahagian negeri sehingga membebankan 2.2 juta penduduk selama hampir seminggu.


Selain itu, Sanusi juga masih gagal untuk mengotakan dakwaan beliau berkenaan pertambahan pendapatan Kerajaan Negeri Kedah melalui penemuan mineral baharu atau nadir bumi yang dianggarkan bernilai RM 62 bilion. Sesuatu yang pasti adalah, belanjawan Kerajaan Negeri Kedah di bawah kendalian Sanusi pada tahun 2023 adalah defisit sebanyak 14.17%.


________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page