top of page

Maulidur Rasul, merdeka: Bebaskan diri dari politik identiti, taksub

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 17 hours ago
  • 2 min read

Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan perlu menjadi ruang untuk rakyat bermuhasabah mengenai makna amanah, keadilan dan keberanian menegakkan kebenaran, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar.


Beliau berkata sambutan kedua-dua peristiwa penting itu tidak seharusnya sekadar tertumpu kepada amalan berselawat dan mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kehidupan serta sikap terhadap isu melibatkan kepentingan rakyat.


"Ogos tahun ini, kita menyambut Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan dalam suasana yang sepatutnya penuh kesyukuran. Tetapi hati kita terasa pilu. Malaysia sedang menangis.


"Bukan kerana kita tidak mempunyai masjid untuk berselawat. Bukan kerana kita kekurangan bendera untuk dikibarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Mahfuz, kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu dibuktikan dengan keberanian mempertahankan amanah dan kebenaran, termasuk apabila kesalahan dilakukan oleh individu daripada kelompok sendiri.


"Apakah erti mencintai Rasulullah SAW kalau kita hanya mengingati selawatnya, tetapi melupakan amanahnya?" soal beliau.


Mahfuz berkata Rasulullah SAW tidak pernah mengajar umat Islam melindungi kesalahan hanya kerana pelakunya merupakan rakan, kelompok atau individu yang disokong.


"Islam tidak pernah mengajar bahawa warna parti boleh mengubah yang haram menjadi halal, atau mengubah kesalahan menjadi kebenaran.


"Kalau salah, tetap salah. Kalau amanah dikhianati tetap pengkhianatan. Kalau hak manusia teraniaya, ia tetap kezaliman. Walaupun pelakunya orang yang kita sayang. Walaupun pelakunya orang yang kita sokong," katanya.


Mahfuz turut mengaitkan prinsip keadilan dengan hadis Rasulullah SAW mengenai puterinya, Fatimah, bagi menggambarkan bahawa hubungan kekeluargaan tidak boleh menjadi alasan untuk mengetepikan prinsip undang-undang dan keadilan.


"Baginda bersabda: “Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya.”


"Bayangkan, Fatimah adalah puteri kesayangan Rasulullah SAW. Namun kasih kepada anak tidak menyebabkan Baginda mengubah prinsip keadilan.


"Maka siapakah kita untuk menggunakan agama bagi melindungi kesalahan orang yang kita sokong?" katanya.


Menurutnya, agama tidak seharusnya digunakan untuk menghalang rakyat daripada bertanya, menyiasat atau mempersoalkan sesuatu perkara atas alasan mahu menjaga maruah kelompok tertentu.


"Sebab itu amat menyedihkan apabila hari ini ada orang menggunakan agama untuk menyuruh manusia jangan bertanya, jangan menyiasat, jangan persoal, jangan dedahkan. Kononnya demi menjaga maruah umat," katanya.


Dalam pada itu, mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata sambutan Hari Kebangsaan juga perlu mengajak rakyat menilai sama ada masyarakat benar-benar bebas daripada politik ketakutan.


"Kita akan menyambut 69 tahun kemerdekaan. Bendera Jalur Gemilang akan berkibar. Lagu patriotik akan bergema. Kita akan melaungkan: Merdeka!


"Tetapi apakah kita benar-benar merdeka kalau fikiran kita masih diperhambakan oleh politik ketakutan?" katanya.


Beliau berkata agama sepatutnya menjadi panduan kepada manusia untuk menegakkan kebenaran, bukannya dijadikan perlindungan terhadap kesalahan.


"Jangan gunakan nama Nabi untuk mempertahankan sesuatu yang Nabi sendiri tidak akan pertahankan," katanya.


Mahfuz berkata Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan akhirnya membawa mesej yang saling melengkapi, iaitu kecintaan kepada kebenaran dan keberanian mempertahankannya.


Beliau berharap sambutan tahun ini bukan sekadar menyaksikan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang dan berselawat, tetapi turut menjadi titik kebangkitan untuk membina masyarakat yang lebih jujur dan menolak kepura-puraan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page