Masuk IPTA guna UEC bukan ‘pengiktirafan penuh’, henti main sentimen kaum
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Penyebaran naratif mengelirukan berhubung kemasukan pemegang sijil UEC serta pelajar aliran Tahfiz dan Pondok ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) disifatkan sebagai tidak tepat dan berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, kemasukan tersebut bukanlah satu bentuk pengiktirafan penuh kepada mana-mana aliran pendidikan, sebaliknya dilaksanakan secara bersyarat dan terhad kepada bidang tertentu.
"Kemasukan ini bukanlah ‘pengiktirafan penuh’ kepada UEC mahupun keistimewaan mutlak kepada mana-mana pihak, tetapi hanya melibatkan kursus tertentu berdasarkan kepakaran masing-masing," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, bagi pemegang sijil UEC serta pelajar Tahfiz dan Pondok yang tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepenuhnya, mereka tetap diwajibkan mengambil dua subjek teras iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.

"Syarat yang ditetapkan ialah Bahasa Melayu wajib mendapat kepujian dan Sejarah wajib lulus. Ini membuktikan bahawa asas pendidikan kebangsaan dan kenegaraan tetap dipelihara," jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam konteks UEC, kemasukan hanya dibenarkan ke kursus berkaitan bahasa dan linguistik Cina seperti Pengajian Bahasa Cina dan Pendidikan Bahasa Cina, selaras dengan kepakaran dalam bidang tersebut.
"Malah sejak 2011 lagi, pelajar UEC yang mempunyai SPM (mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia) telah diterima masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk menjadi guru Bahasa Cina," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata laluan kepada pelajar Tahfiz dan Pondok pula tertumpu kepada bidang Pengajian Islam seperti Dakwah, al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Tahfiz.
Sehubungan itu, Eddiarman menegaskan dakwaan bahawa kerajaan cuba menghapuskan sistem SPM atau mengiktiraf UEC secara menyeluruh adalah tidak benar.
"Hakikatnya, laluan utama ke IPTA, biasiswa kerajaan dan sektor perkhidmatan awam masih berpaksikan SPM dan sistem pendidikan kebangsaan," katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar tidak memanipulasi isu pendidikan demi kepentingan politik.
"Saya menyeru semua pihak agar berhenti memainkan sentimen kaum dan pendidikan. Isu ini perlu dibincangkan secara matang, berfakta dan berpandukan kepentingan negara, bukannya untuk menimbulkan kebencian antara kaum," tegasnya.
Untuk rekod, pembangkang Pas memainkan isu pengiktirafan sijil UEC kononnya Kerajaan Madani menggadai pendidikan negara, sedangkan dasar berkenaan telah diluluskan sejak pemerintahan BN pada 2018, bagaimanapun tidak dimansuhkan oleh Pas ketika mereka berada dalam kerajaan pada 2020 - 2022 lalu.




Comments