Ziarah Kasih KEADILAN Kuantan santuni bapa tunggal sakit jantung
- Redzuan Shamsudin

- 9 hours ago
- 2 min read

Keprihatinan terhadap nasib golongan memerlukan terus dizahirkan apabila jentera KEADILAN Kuantan bersama pemimpin komuniti tempatan turun padang dalam program “Ziarah Kasih” menyantuni seorang bapa tunggal yang menghidap penyakit jantung kronik di Perumahan Peramu Maju, DUN Tanjung Lumpur.
Lawatan tersebut diketuai Ketua Cabang KEADILAN Kuantan merangkap Ahli Majlis Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Fakhrul Anuar Zulkawi. Turut hadir Ketua Wanita KEADILAN Cabang Kuantan, Sridayu Samsuri serta Pengerusi KRT Kempadang Perdana, Noorhayati Othman.
Bapa tunggal, Zaidi Yusuf, 51, dilaporkan menghidap penyakit jantung kronik dan kini hilang punca pendapatan serta tinggal bersendirian di kediamannya.
Menurut Fakhrul, kerjasama antara parti politik dan komuniti setempat menjadi kunci dalam memastikan bantuan seperti itu dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan.
"Di Tanjung Lumpur, kita tak kerja sorang-sorang. KRT, JPKK, parti – semua kena jadi satu pasukan. Bila Pengerusi KRT Noorhayati Othman maklumkan kes Zaidi, terus kami gerak," katanya.
Beliau turut memberi jaminan akan membantu menguruskan permohonan Pencen Ilat bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk Zaidi yang merupakan bekas pencarum.

"Dokumen akan diserahkan ke PERKESO Kuantan dalam waktu terdekat dengan bantuan Noorhayati yang juga ibu saudara kepada Zaidi," jelasnya.
Dalam pada itu, kehadiran Noorhayati sebagai wakil komuniti turut mencerminkan pendekatan “politik khidmat” yang merentasi sempadan parti, dengan KRT memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam mengenal pasti golongan memerlukan.
Sementara itu, Zaidi meluahkan rasa terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh semua pihak yang hadir menziarahinya.
"Saya tak sangka Ahli Majlis MBK, Ketua Wanita, dan Pengerusi KRT datang rumah. Terima kasih sangat-sangat," katanya sebak.




Comments