Konvensyen PH: Kejayaan inisiatif Kerajaan Perpaduan topik utama perbahasan
- Sidiqin Omar

- 13 hours ago
- 2 min read

Kejayaan pelbagai inisiatif dan program di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan dijangka menjadi antara fokus utama perbahasan dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung esok.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pencapaian kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membuktikan bahawa kestabilan politik memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi dan penyelesaian isu rakyat.
Menurut beliau, antara perkara yang akan diketengahkan termasuk peningkatan pelaburan masuk, pengukuhan ekonomi negara serta pelaksanaan bantuan terus kepada rakyat melalui pelbagai program kerajaan.
"Kita lihat di bawah pentadbiran Perdana Menteri dan usaha Kerajaan Perpaduan, banyak perkara telah berjaya diuruskan sama ada dari segi ekonomi, pelaburan dan bantuan kepada rakyat," katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.
Beliau berkata, usaha kerajaan dalam menyelesaikan isu pembangunan dan kemudahan awam di Johor turut menjadi contoh keberkesanan pentadbiran yang stabil.
Katanya, antara projek dan isu yang berjaya diberi perhatian termasuk pembangunan hospital di Pontian, kolej vokasional di Pengerang, projek Forest City, sistem Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System (RTS) serta isu berkaitan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) di Link Kedua dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
"Bila kerajaan berada dalam keadaan stabil, banyak isu dapat diuruskan dengan lebih baik. Keutamaan sekarang adalah bagaimana kejayaan makro ekonomi itu dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai secara langsung oleh rakyat," katanya.
Fahmi berkata, program berteraskan rakyat seperti subsidi bersasar dan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus menjadi antara agenda penting kerajaan dalam memastikan bantuan dapat disalurkan secara terus kepada golongan memerlukan.
Menurut beliau, PH juga komited memastikan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan terus kukuh demi mengekalkan kestabilan politik negara ketika dunia berdepan cabaran ekonomi dan krisis bekalan global.
Beliau berkata, pendekatan rundingan dan persefahaman yang diamalkan dalam kerajaan berjaya menangani perbezaan pandangan tanpa menjejaskan pentadbiran, termasuk dalam isu melibatkan Negeri Sembilan baru-baru ini.
"Sebarang perbezaan pandangan akan dirujuk kepada majlis pimpinan seperti yang dipersetujui sewaktu pembentukan Kerajaan Perpaduan pada Disember 2022," katanya.
Tambah beliau, mesej utama yang dijangka dibawa pimpinan dalam konvensyen itu adalah untuk terus memperkukuh usaha membela rakyat serta memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan secara konsisten.




Comments