top of page

Konvensyen PH platform tentukan hala tuju reformasi, perbaharui komitmen

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang dijadual berlangsung esok dilihat sebagai medan penting untuk mempertegaskan hala tuju perjuangan gabungan itu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.


Naib Ketua Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean (gambar) berkata, konvensyen tersebut hadir dalam suasana wujudnya persoalan dalam kalangan rakyat, khususnya penyokong PH, mengenai keutamaan dan arah tuju kerajaan ketika ini.


"Sentimen ini lahir daripada harapan besar yang diletakkan oleh rakyat selepas PRU lalu. Ia isyarat jelas bahawa mandat yang diberikan bukan sekadar untuk mentadbir, tetapi untuk melaksanakan perubahan yang nyata dan bermakna," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani kini sedang melaksanakan pelbagai agenda reformasi institusi dan pentadbiran secara berperingkat dan tersusun.


"Antaranya termasuklah pelaksanaan Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal bagi memperkukuh disiplin fiskal negara, pembaharuan sistem perolehan kerajaan melalui pendigitalan untuk meningkatkan ketelusan serta menutup ruang ketirisan, dan pengukuhan institusi penguatkuasaan serta audit yang lebih tegas terhadap agensi kerajaan," ujarnya.


Tambah beliau, pengukuhan institusi penguatkuasaan dan audit turut dipertingkatkan bagi memastikan tadbir urus yang lebih tegas dalam kalangan agensi kerajaan.


Dalam aspek pengurusan kewangan awam pula, Ker Chean berkata pendekatan rasionalisasi subsidi yang lebih bersasar sedang dilaksanakan, selain memperkukuh mekanisme bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) agar sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


Mengulas lanjut, beliau berkata transformasi digital kerajaan melalui inisiatif seperti MyDigital dan sistem e-kerajaan sedang diperkasa bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta mengurangkan kerenah birokrasi.


Dalam masa sama, beliau mengakui perbezaan pandangan dalam kerajaan gabungan adalah sesuatu yang lumrah, namun tidak wajar dijadikan alasan untuk melemahkan agenda reformasi.


"Dalam ruang politik, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang lumrah dalam mana-mana kerajaan gabungan. Namun ia tidak wajar dijadikan alasan untuk melemahkan agenda reformasi, sebaliknya harus dilihat sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang matang dalam sebuah kerajaan pelbagai parti," katanya.


Menurut Ker Chean lagi, cabaran dalam melaksanakan reformasi sememangnya besar dan menuntut kesabaran serta disiplin tinggi, namun ia bukan alasan untuk berundur.


"Cabaran ini tidak pernah menjadi alasan untuk berundur, sebaliknya ia adalah amanah yang sedang kita galas dengan penuh tanggungjawab," jelasnya.


Sehubungan itu, beliau menyeru semua penyokong PH agar terus kekal teguh mendukung agenda reformasi demi memastikan negara terus bergerak ke hadapan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Reformasi tidak pernah berhenti. Ia sedang berlangsung. Kini masanya untuk memperkukuh tekad dan memperbaharui komitmen terhadap perjuangan ini," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page