Masakan tradisional Melaka jadi tumpuan di Cheng Jaya


Oleh: SaifulAnnuar Sulaiman
Keunikan masakan tradisional negeri Melaka menjadi tumpuan penduduk setempat menerusi Pertandingan Memasak Masakan Tradisional Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Padang Taman Cheng Jaya, Ahad lalu.
Program anjuran Persatuan Kasih Morni Malaysia itu berlangsung dari jam 11 pagi hingga 5 petang dengan mengetengahkan warisan kulinari Melaka sebagai usaha memelihara dan memperkenalkan masakan tradisional kepada generasi muda.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin hadir dalam memperkenalkan diri sebagai calon DUN Paya Rumput.
Bertemakan warisan masakan negeri Melaka, pertandingan berkenaan memberi penekanan kepada penyediaan hidangan lauk tradisional berasaskan ikan atau sayur-sayuran, selain kreativiti peserta dalam aspek penyediaan dan hiasan makanan.
Menariknya, penggunaan ayam dan daging tidak dibenarkan bagi memastikan peserta memberikan tumpuan kepada bahan serta resipi tradisional yang menjadi identiti masakan negeri itu.
Selain pertandingan memasak, program berkenaan turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna kanak-kanak yang dibahagikan kepada dua kategori umur, iaitu empat hingga tujuh tahun dan lapan hingga 12 tahun.
Penganjur turut menyediakan cabutan bertuah bagi menambahkan kemeriahan program yang mendapat penyertaan masyarakat setempat.
Pengerusi Persatuan Kasih Morni Malaysia yang juga mantan Ketua Wanita KEADILAN Melaka, Merlia Harmony menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi kedua-dua pertandingan, manakala peserta lain turut menerima hadiah sagu hati sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.
Program seumpama itu bukan sahaja menjadi platform mengetengahkan kreativiti masyarakat dalam menghasilkan masakan warisan, malah berperanan memupuk minat generasi muda terhadap khazanah budaya dan makanan tradisional Melaka.
Inisiatif komuniti berkenaan juga diharap dapat terus mengeratkan hubungan silaturahim penduduk setempat melalui aktiviti kemasyarakatan yang menggabungkan elemen warisan, kekeluargaan dan kebudayaan.




Comments