Tindakan Peguam Negara dapatkan penjelasan bukan ingkar titah - AMK


Sebarang persoalan berhubung tafsiran dan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak harus diselesaikan menerusi saluran undang-undang yang sah, bukan melalui tuduhan yang belum dibuktikan.
Pendirian itu dinyatakan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Ketua Biro Guaman dan Aduan Awamnya, Khairul Naim Rafidi berkata, pihaknya memandang serius kekeliruan yang timbul berhubung pelaksanaan perintah tersebut yang kemudian mencetuskan dakwaan kononnya Jabatan Peguam Negara (AGC) serta kerajaan Malaysia telah mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut beliau, biarpun kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan wajib dihormati sepenuhnya, tindakan AGC mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran dan pelaksanaan perintah berkenaan tidak boleh dianggap sebagai keingkaran terhadap titah Seri Paduka Baginda.
"Tindakan AGC mendapatkan penjelasan mengenai tafsiran dan pelaksanaan perintah tidak dengan sendirinya bermaksud berlaku keingkaran terhadap titah Seri Paduka Baginda.
"Semua pihak perlu menghormati Perlembagaan dan memastikan persoalan berkaitan pelaksanaan perintah pengampunan diselesaikan secara tertib menerusi proses perundangan yang sah," katanya.
Khairul Naim turut menekankan kepentingan setiap proses penyediaan dokumen Order of Discharge dilakukan dengan teliti.
Langkah itu bagi memastikan kandungan dokumen tersebut benar-benar selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan serta titah perkenan Yang di-Pertuan Agong serta tuntutan kedaulatan undang-undang.
"Kedaulatan undang-undang menuntut ketelitian, keadilan dan tanggungjawab daripada semua pihak dalam menangani isu berkenaan," tambahnya.
Sehubungan itu AMK jelasnya akan menggerakkan laporan polis bagi membolehkan siasatan dimulakan untuk mengesan kemungkinan wujudnya ketidakaturan atau unsur kesalahan dalam proses terbabit.
Langkah itu bertujuan mengenal pasti punca kekeliruan serta memastikan sebarang salah laku, jika terbukti, ditangani mengikut undang-undang.




Comments