Konsert The Weekend: JAKIM siasat dakwaan wujud unsur pemujaan


Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang meneliti dakwaan unsur pemujaan yang dikaitkan dengan konsert artis antarabangsa, The Weeknd, di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.
Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata, Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang berhubung rapat dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.
Beliau turut menegaskan, pihaknya memandang serius kebimbangan yang dibangkitkan berhubung beberapa elemen persembahan yang didakwa mencetuskan persoalan berkaitan aspek akidah dan sensitiviti agama.
"Islam secara tegas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan selain Allah.
"Semua pihak perlu memastikan agar persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak, dan sensitiviti agama di Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Penggunaan elemen visual termasuk patung emas gergasi dalam konsert berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 Nov lalu mencetuskan perdebatan di media sosial.
Warga maya membangkitkan isu akidah ekoran penggunaan prop pentas yang didakwa menyerupai ritual pemujaan.
Zulkifli sementara itu menegaskan tindakan akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap peraturan atau garis panduan yang ditetapkan.
"Tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan setiap persembahan artis dalam dan luar negara sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya, serta ketenteraman awam," tambahnya.




Comments