"Marah atau tidak, tidak pudar rasa hormat kepada Pak Hassan" - Nurul
- Suara Keadilan
- 19 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Mohd Helmi Foad
Calon Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah menepis dakwaan bahawa beliau pernah berselisih faham dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim sebaliknya beliau adalah antara tokoh yang menyarankannya memasuki gelanggang untuk bertanding jawatan tersebut.
Beliau mengakui Hassan merupakan seorang "pemberontak" terhadap beberapa keputusan yang dilakukan kerajaan tetapi ia dilakukan dengan bersebab.
"Ada satu penyataan yang meremehkan untuk mengatakan saya dan Pak Hassan pernah berselisih faham. Pak Hassan ini seorang "pemberontak" tetap dengan sebab (kukuh)," kata Nurul Izzah dalam hantaran di Facebook.
"Dan beliau jugalah yang menyeru saya masuk gelanggang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden KEADILAN."
Nurul Izzah yang sebelum ini pernah dilantik sebagai Penasihat Kanan kepada Perdana Menteri (Ekonomi dan Kewangan) pada 2023 berkata, perkhidmatannya itu telah dikritik oleh Hassan sebelum beliau mengambil keputusan untuk berundur.
Jelas beliau, tugasan itu kemudian telah diserahkan kepada Nurhisham Hussein yang ketika itu merupakan Pengarah Ekonomi dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Marah atau tidak, tidak pernah pudar rasa hormat saya kepada Pak Hassan," ujar Nurul Izzah.
Dalam hantaran itu, beliau turut berkongsi tentang pengalaman zaman susah yang diharungi bersama Hassan apabila parti perlu meraih dana daripada orang ramai untuk mendapatkan wang deposit untuk bertanding dalam pilihanraya selain memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Kopi ini sememangnya keras, namun kerasnya kita tempuhi bersama," ungkap Nurul Izzah memberikan perumpamaan bagaimana beliau pernah mengharungi kesukaran dalam parti bersama Hassan.
Beliau turut merakamkan ucapan selamat kepada Hassan dan isteri yang bakal menunaikan ibadah haji.
"Sama-sama kita saling mendoakan," ujarnya lagi.
Laporan media sebelum ini melaporkan Hassan merupakan antara pemimpin lama dalam KEADILAN yang memberikan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar.
Baginya anak perempuan sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai “penyelamat” KEADILAN daripada mendapat seorang timbalan presiden yang “tidak sesuai” dan memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang inginkan pemimpin matang.
Meskipun beliau menentang amalan kronisme sama ada dalam kerajaan atau parti, dalam konteks Nurul Izzah, Ahli Parlimen Pasir Gudang itu dipetik sebagai berkata "dia rela berada di barisan hadapan untuk mempertahankan anak perdana menteri berkenaan."
"Nurul Izzah mempunyai kebolehan, dan jika dia bertanding Timbalan Presiden KEADILAN, beliau insya-Allah boleh menang atas meritnya.
"Anwar pula seharusnya berkecuali dan memerhati sahaja jika puterinya itu masuk gelanggang dan bersaing secara demokratik," ujarnya.