MAPIM kecam perancangan genosid terbaharu Israel ke atas Palestin
- Suara Keadilan
- Mar 20
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri (PM) Israel, Benjamin Netanyahu bahawa serangan ke atas Gaza hanya ‘satu permulaan’, mendapat kecaman keras Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pembunuhan di Gaza bukan lagi rahsia, malah kenyataan Netanyahu itu menggambarkan genosid di bumi Palestin akan berterusan.
''Beribu-ribu telah dibunuh, termasuk kanak-kanak dan keluarga, berapa lama lagi dunia akan berdiri dan menonton?
''Berapa banyak lagi kubur besar yang perlu diisi sebelum pemimpin dunia mengambil tindakan sebenar?
''Dunia tidak boleh terus berdiam. Tindakan mesti diambil sekarang,'' tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu beliau berkata, pihaknya menuntut lima perkara iaitu masyarakat antarabangsa mesti mengenakan sekatan ekonomi dan ketenteraaan ke atas Israel.
Katanya, semua bantuan ketenteraan kepada Israel mesti dihentikan terutamanya dari Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.
''Trump (Presiden AS) dan sekutunya wajib dipertanggungjawabkan. Mana-mana pemimpin dunia yang menyokong pembunuhan beramai-ramai mesti didakwa kerana ia adalah jenayah perang.
''Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti segera mengerahkan pasukan pengaman untuk melindungi orang awam di Palestin.
''Resolusi mesti diluluskan bagi mengiktiraf tindakan Israel itu sebagai pembunuhan beramai-ramai, dengan tindakan undang-undang," ujar Azmi.
Dalam masa sama beliau menyeru agar negara negara Islam segera melaksanakan tindakan sekatan diplomatik dan ekonomi lebih keras ke atas Israel serta penyokongnya bagi menghentikan keganasan di Gaza.
''Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bergerak dan melaksanakan langkah diplomatik dan ekonomi terhadap Israel dan penyokongnya.
''Negara-negara Islam juga mesti menghentikan semua perdagangan dengan Israel dan memutuskan hubungan dengan negara-negara yang membiayai pembunuhan beramai-ramai itu,'' katanya lagi.
Comments