Mansuhkan kuasa veto PBB, desak gencatan senjata kekal di Palestin


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembaharuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaksanakan secara lebih berani, termasuk memansuhkan kuasa veto yang menurutnya sekian lama membelenggu keupayaan Majlis Keselamatan badan dunia itu untuk bertindak secara adil dan berkesan.
Beliau berkata, ASEAN perlu terus mempertahankan prinsip Kepusatan ASEAN serta keluhuran undang-undang antarabangsa ketika berdepan persaingan geopolitik yang semakin mencabar.
Anwar menyuarakan pendirian itu ketika menyampaikan kenyataan Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN–PBB ke-16 di Manila, Filipina, semalam.
Menurut beliau, Pelan Tindakan ASEAN–PBB 2026–2030 perlu diterjemahkan kepada hasil yang nyata, khususnya dalam bidang peralihan hijau dan digital, daya tahan iklim serta pembangunan mampan.
Pelan tindakan lima tahun itu menjadi asas kepada usaha memperkukuh kerjasama menyeluruh ASEAN dan PBB, selain menyokong pembinaan Komuniti ASEAN serta pelaksanaan agenda pembangunan mampan global.
Tegas perjuang isu Palestin
Dalam isu Palestin, Anwar mengecam sekeras-kerasnya kekejaman berterusan, pemindahan paksa dan kebuluran yang menimpa rakyat Palestin.
Beliau menuntut gencatan senjata segera dan berkekalan, penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta perlindungan terhadap petugas kemanusiaan yang menjalankan misi membantu penduduk terjejas.
Malaysia turut menegaskan sokongan terhadap keanggotaan penuh Palestin dalam PBB sebagai sebahagian daripada usaha memperjuangkan hak dan kedudukan negara itu dalam masyarakat antarabangsa.
Sidang Kemuncak ASEAN–PBB ke-16 menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN bersama Setiausaha Agung PBB, António Guterres, dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Menurut kenyataan ASEAN, sidang berkenaan mengesahkan semula kepentingan kerjasama menyeluruh ASEAN–PBB dalam mempromosikan keamanan, keselamatan, kestabilan dan pembangunan mampan.
Pertemuan itu turut meneliti kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN–PBB 2026–2030 yang menyokong hala tuju ASEAN 2045.
Anwar menegaskan bahawa ASEAN perlu terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh multilateralisme dan memastikan undang-undang antarabangsa dihormati, demi membina rantau serta dunia yang lebih aman, adil dan mampan.




Comments