Mansuh BUDI95: Kritikan Onn Hafiz tidak wajar - Sheikh Umar
- Suara Keadilan

- 13 hours ago
- 2 min read

Desakan agar Kerajaan Persekutuan memansuhkan kuota bulanan BUDI95 ditempelak pemimpin DAP Johor.
Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali (gambar) berkata kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau tidak bersetuju dengan kritikan yang disifatkannya tidak menggambarkan keseluruhan fakta mengenai pelaksanaan BUDI95.
"Saya kesal dengan kenyataan Onn Hafiz Ghazi yang semakin ghairah menyerang dasar-dasar Kerajaan Madani sehingga sanggup mengulangi naratif yang tidak menggambarkan keseluruhan fakta," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, BUDI95 diperkenalkan pada September 2025 selepas kerajaan meneliti pelbagai pilihan, termasuk cadangan daripada pakar ekonomi supaya subsidi bahan api diapungkan mengikut harga pasaran.
"Namun Kerajaan Madani memilih jalan yang lebih sukar tetapi lebih bertanggungjawab iaitu mengekalkan perlindungan kepada rakyat melalui subsidi bersasar.
"Apabila krisis Asia Barat menyebabkan harga minyak dunia melonjak dan rantaian bekalan global terganggu, rakyat Malaysia tidak menanggung sepenuhnya kenaikan tersebut. Jika tiada mekanisme seperti BUDI95, rakyat pasti berdepan kenaikan harga petrol yang jauh lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, sekiranya terdapat kelemahan dalam pelaksanaan dasar itu, perkara berkenaan sepatutnya dibincangkan dalam kerajaan dan bukannya dijadikan bahan serangan terbuka.
"Jika benar ada kelemahan dalam pelaksanaan, bawalah berbincang. Bukan menjadikannya bahan serangan terbuka seolah-olah mereka sendiri bukan sebahagian daripada kerajaan," katanya.
Sheikh Omar berkata, Kerajaan Madani sentiasa bersedia menilai dan menambah baik pelaksanaan dasar berdasarkan maklum balas rakyat.
"Kerajaan Madani tak pernah mendakwa semua dasar yang dilaksanakan sempurna. Sebab itu kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat, menilai pelaksanaan dan melakukan penambahbaikan apabila perlu.
"Matlamatnya tetap sama iaitu memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak, membanteras ketirisan dan pada masa yang sama melindungi kebajikan rakyat ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi," katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa bantahan terhadap BUDI95 tidak dibangkitkan ketika penyasaran subsidi diesel bermula pada 2024 dan mekanisme itu diperkenalkan pada 2025.
"Johor memerlukan kepimpinan yang menawarkan penyelesaian, bukannya sekadar mengulangi retorik yang biasa dimainkan cybertrooper," katanya lagi.




Comments