Mansuh AUKU: PM sedar akta lapuk menghambat reformasi anak muda
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Cadangan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta menggantikannya dengan akta baharu merupakan langkah positif kerana mampu membuka ruang demokrasi yang lebih luas kepada generasi muda, khususnya mahasiswa.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar) berkata, pengumuman Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemansuhan AUKU pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka semalam wajar disokong terutama oleh golongan muda.
"Cadangan kerajaan pusat untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah sesuatu yang baik kerana ia akan membuka ruang demokrasi yang lebih luas kepada generasi muda, khususnya mahasiswa di universiti," katanya dalam kenyataan media.
Menurut beliau, terdapat banyak sebab AUKU perlu dimansuhkan, termasuk keperluan mengembalikan ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat dalam demokrasi dan perkembangan politik negara.
Hassan berkata, keputusan itu juga dilihat mempunyai kaitan dengan usaha mendapatkan semula sokongan generasi muda berusia antara 18 hingga 25 tahun yang didakwa masih rendah terhadap KEADILAN.
Beliau berkata, sejarah penubuhan dan perkembangan KEADILAN sendiri tidak boleh dipisahkan daripada peranan golongan muda yang menggerakkan perjuangan reformasi, khususnya ketika Anwar berada dalam tahanan pada tempoh awal gerakan tersebut sekitar awal 2000.
"Anwar Ibrahim yang dalam tempoh 10 tahun pertama era reformasi di mana dia lebih banyak berada di dalam penjara, menyedari golongan mudalah, lelaki dan wanita yang telah membangunkan Parti KEADILAN; yang gigih mengibarkan idea dan panji-panji perjuangan reformasi sehingga Parti KEADILAN tersebar ke seluruh negara," katanya.
Hassan turut menegaskan bahawa KEADILAN mempunyai struktur akar umbi yang luas, dengan cabang di seluruh 222 kawasan Parlimen di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan politik semasa turut menunjukkan perubahan generasi dalam kepimpinan dan barisan hadapan perjuangan reformasi.
Katanya, beberapa tokoh muda yang pernah menjadi antara penggerak utama perjuangan reformasi kini tidak lagi bersama KEADILAN.
Katanya, mantan anak muda seperti Ezam Mohd Noor, Tian Chua, Lokman Noor Adam, Rafizi Ramli, Nik Nazmi dan Latifah Koya telah tiada lagi untuk memperkuat parti.
"Mereka yang namanya disebutkan, yang berani, bijak dan bersedia berkorban untuk perjuangan, semuanya sudah meninggalkan perjuangan," katanya.
Justeru Hassan berkata, pengumuman pemansuhan AUKU pada Kongres Nasional KEADILAN di Melaka merupakan langkah yang tepat dalam konteks usaha mengembalikan peranan anak muda sebagai kelompok penting dalam pembangunan demokrasi negara.
Beliau turut mengaitkan keputusan tersebut dengan sejarah kebangkitan gerakan anak muda di beberapa negara, termasuk Gerakan 4 Mei di China, Sumpah Pemuda di Indonesia serta Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam di Tanah Melayu.
"Jadi dalam konteks inilah maka keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat untuk memansuhkan AUKU itu perlu diberi sokongan terutama dari kalangan generasi muda," katanya lagi.
Semalam dalam ucapan dasarnya, Presiden KEADILAN yang juga Perdana Menteri Malaysia mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU yang memangsakan kebebasan bersuara mahasiswa di negara ini sejak kewujudannya pada 1971.




Comments