Manifesto PH realistik, jawab keperluan sebenar rakyat Johor
- Suara Keadilan

- Jul 5
- 1 min read

Sepuluh tawaran utama 'Johor Untuk Semua' oleh Pakatan Harapan (PH) merupakan komitmen yang realistik bagi memastikan kemajuan negeri dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat Johor.
Calon Pakatan Harapan bagi N.54 Pulai Sebatang, Haniff Hosman (gambar) berkata tawaran tersebut bukan sekadar manifesto, sebaliknya pelan tindakan yang memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan serta kesejahteraan anak Johor.
"Sepuluh tawaran dalam manifesto itu dirangka bagi menjawab keperluan sebenar rakyat Johor.
"Kita mahu Johor menjadi sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari segi pelaburan, tetapi turut memastikan manfaat pembangunannya dirasai oleh rakyat di bandar mahupun di kawasan luar bandar," katanya dipetik dalam satu program Majlis Minum Petang Bersama Komuniti dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di PDM Kampung Jawa.
Pada Jumaat, PH mengumumkan 10 tawaran Johor Untuk Semua dan lima Inisiatif Pencetus Perubahan Johor sebagai manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16
Antara lain, tawaran tersebut memfokuskan kepada kebajikan rakyat, bantuan rumah pertama, dan peningkatan akses kesihatan bagi golongan B40 serta M40.
Ia memberi penekanan terhadap pemerkasaan ekonomi tempatan melalui pelaburan strategik, peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Johor, dan tadbir urus yang telus.
Sementara itu, Haniff dalam ucapannya menyeru seluruh rakyat Johor khususnya anak jati Pulai Sebatang yang bekerja di luar daerah supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada 11 Julai.
Tegasnya, setiap satu undi pada 11 Julai ini amat bermakna dalam menentukan masa depan Johor untuk lima tahun akan datang.




Comments