top of page

Manifesto PH "Johor Untuk Semua", 10 tawaran tingkat taraf hidup rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 5 min read
AMIRUDIN (dua dari kiri) bersama Zaliha (kanan), Aminolhuda dan Teo Ni Ching (kiri) memegang bebola kristal sebagai gimik pelancaran Manifesto PH: Johor Untuk Semua di Johor Bahru, 3 Julai 2026. Foto Dr Zaliha Mustafa melalui Facebook
AMIRUDIN (dua dari kiri) bersama Zaliha (kanan), Aminolhuda dan Teo Ni Ching (kiri) memegang bebola kristal sebagai gimik pelancaran Manifesto PH: Johor Untuk Semua di Johor Bahru, 3 Julai 2026. Foto Dr Zaliha Mustafa melalui Facebook

Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifesto dalam misi memenangi pilihan raya negeri dengan tema "Johor Untuk Semua" dengan mesej yang jelas iaitu pembangunan ekonomi Johor perlu bergerak seiring dengan peningkatan taraf hidup rakyat.


Berbeza dengan manifesto yang hanya menawarkan projek baharu, PH mengambil pendekatan membina di atas kekuatan ekonomi Johor ketika ini.


Gabungan itu mengiktiraf negeri berkenaan sedang menikmati kemasukan pelaburan melebihi RM110 bilion hasil pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RTS Link, pusat data serta ekonomi digital.


Namun, PH berpandangan kejayaan tersebut hanya bermakna sekiranya manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat melalui peluang pekerjaan bergaji tinggi, pemilikan rumah, perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan pembangunan yang lebih seimbang.


Manifesto yang mengandungi 10 tawaran utama yang memberi fokus kepada empat teras besar iaitu perlindungan sosial, perumahan, pembangunan modal insan dan peluang ekonomi.


"Pakatan Harapan percaya kemajuan Johor tidak boleh diukur melalui angka pelaburan semata-mata. Kemajuan sebenar ialah apabila anak Johor mendapat pekerjaaan bergaji tinggi, keluarga mampu memilik rumah sendiri, anak muda tidak perlu berhijrah untuk berjaya.


"Setiap daerah menikmati pembangunan seimbang dan kerajaan berkhidmat dengan Amanah dan telus," demikian menurut dokumen manifesto yang dilancar di Johor Bahru hari ini.


Pelancaran manifesto berkenaan disempurnakan Ahli Majlis Presiden PH Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Bersama Pilihan Raya KEADILAN di Johor Bahru hari ini.


Hadir sama Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching, Pengerusi KEADILAN Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta calon-calon gabungan itu yang akan bertanding pada PRN berkenaan.


​Tawaran tersebut dibentangkan secara bersama oleh calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik, calon PH DUN Larkin Suhaizan Kayat dan calon PH Stulang Andrew Chen.


Melalui tawaran tersebut, PH meletakkan komitmen untuk memperkenalkan Skim Kesihatan Johor iaitu pelaksanaan Skim Kesihatan Johor yang menyediakan perlindungan sehingga RM100,000 setahun kepada golongan B40, M40 dan OKU yang layak.


PH turut berjanji menghidupkan semula Kad Sihat Johor dengan sasaran memberi manfaat kepada 500,000 rakyat.


Cadangan ini dilihat cuba mengurangkan beban kos rawatan kesihatan swasta yang semakin meningkat, selain melengkapkan kemudahan rawatan di hospital kerajaan.


Bantuan Rumah Pertama Anak Johor


Manifesto itu turut menawarkan bantuan deposit sehingga RM8,000 kepada pembeli rumah pertama.


Selain itu, PH mahu memperluaskan skim sewa untuk milik (rent-to-own) bagi memudahkan golongan muda memiliki rumah.


Program berkenaan disasarkan memberi manfaat kepada 50,000 keluarga muda, sekali gus menjawab isu kemampuan memiliki rumah yang menjadi antara kebimbangan utama rakyat Johor.


Dana Anak Muda Johor RM500 juta


Bagi memastikan Johor mempunyai tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri masa depan, PH mencadangkan penubuhan Dana Anak Muda Johor bernilai RM500 juta.


Dana itu merangkumi TVET Premium Johor, latihan AI, robotik dan digital, Dana Usahawan Muda Johor, Program Jaminan Pekerjaan Pertama, tuisyen percuma calon SPM dan STPM daripada keluarga B40, menaik taraf institusi pendidikan serta program penguasaan Bahasa Inggeris dan kemahiran digital.


PH menyasarkan 200,000 anak muda menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan. Strategi ini dilihat selari dengan transformasi ekonomi Johor yang semakin tertumpu kepada sektor teknologi tinggi, pusat data, semikonduktor dan ekonomi digital.


Membina 80,000 rumah mampu milik


Manifesto itu turut menetapkan sasaran membina 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun, bersamaan kira-kira 16,000 unit setahun.


Selain mempergiat pembinaan Rumah Generasi Kedua FELDA, PH turut memberi keutamaan kepada keluarga muda dan pekerja tempatan.


Cadangan ini bertujuan memastikan pertumbuhan harga hartanah akibat limpahan pelaburan tidak menjejaskan peluang rakyat Johor memiliki kediaman sendiri.


Internet Gigabit dan AI untuk semua sekolah menjelang 2030


PH komited untuk memastikan kesemua sekolah di Johor mempunyai akses Internet berkelajuan tinggi dengan makmal AI dan robotik di semua daerah.


Seramai 50,000 pelajar akan dipastikan mengikuti program AI setiap tahun selain membina perpustakaan digital dan pusat pembelajaran moden di setiap daerah.


Dana RM1 bilion bagi PKS dan usahawan Johor


PH meletakkan sasaran 50,000 PKS menerima bantuan selain 20,000 perniagaan didigitalkan dan 10,000 usahawan baru dilahirkan.


Ia juga merancang untuk mewujudkan program eksport Johor k pasaran ASEAN selain mewujudkan dana industri kreatif dan kandungan digital.


Perkasa Johor sebagai pengeluar utama agromakanan negara


Memperkasa potensi komoditi bernilai tinggi tempatan menerusi pemodenan rantaian nilai dan transformasi industri hiliran durian dan nanas. Selain itu, PH merancang mahu mengekal dan menambah kawasan pertanian kekal dan pengeluaran makanan Johor.


Memacu industri bernilai tinggi


Memastikan pembangunan menyeluruh merentasi daerah sebagai enjin penggerak ekonomi Johor melalui industri pembuatan perabot, industri berteknologi tinggi, ekosistem ekonomi kreatif, minyak dan gas, pelancongan, dan pertanian moden, perikanan dan makanan.


Masa menunggu rentas sempadan dikurangkan 50 peratus


Usaha tersebut bakal dilaksana melalui integrasi RTS, ETS, Bas.My dan sistem pengangkutan negeri yang bakal memberi manfaat kepada 300,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura.


Laluan khas turut perlu disediakan untuk pekerja rentas sempadan selain mewujudkan sistem mobitili pintar dan rangkaian bas perantara ke RTS dari Skudai, Kulai, Kempas dan Pasir Gudang.


Sedia 250,000 pekerjaan bergaji tinggi dan bermaruah


Melalui JS-SEZ, kecerdasan buatan, ekonomi digital, logistik pintar, teknologi hijau dan industri bernilai tinggi, peluang pekerjaan bakal diwujudkan untuk rakyat Johor.


PH meletakkan sasaran gaji median Johor meningkat 30 peratus manakala sejumlah 50,000 peluang pekerjaan baharu wujud setiap tahun.


Seramai 10,000 pekerja akan mengikuti program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dalam AI, pangkalan data, automasi, logistik pintar, pembuatan, pertanian moden dan penghasilan makanan.


Selain tawaran tersebut, PH turut mahu melaksanakan lima inisiatif yang bakal mencetus perubahan di Johor iaitu mewujudkan 250 Taska Madani dan taska tempat baharu di kawasan industri, pejabat kerajaan dan komuniti.


Pas pengangkutan awam sebanyak RM50 sebulan juga akan dinikmati golongan pelajar, warga emas dan OKU.


PH turut merancang melaksanakan Program Balik Johor dengan sasaran membawa pulang 20,000 profesional dari luar negara menjelang 2031 selain memberikan insentif pekerjaaan dan keusahawanan.


Sekiranya berjaya menerajui kerajaan negeri, PH turut mahu menubuhkan Tribunal Hak Tanah bagi mempercepat penyelesaian kes tertunggak dan bayi baru lahir di Johor akan menerima RM1,000 bonus anak Johor sebagai simpanan untuk masa depan.


Mesej utama manifesto ialah kejayaan Johor tidak boleh diukur hanya melalui nilai pelaburan atau pertumbuhan KDNK negeri, sebaliknya berdasarkan kemampuan rakyat menikmati hasil pembangunan.


Dari sudut politik, manifesto ini memperlihatkan perubahan pendekatan PH.


Gabungan itu tidak lagi mempertikaikan kejayaan Johor menarik pelaburan, malah mengiktiraf pembangunan seperti JS-SEZ dan RTS sebagai pemangkin ekonomi negeri.


Sebaliknya, PH cuba membawa naratif baharu bahawa fasa seterusnya ialah memastikan limpahan kekayaan tersebut sampai kepada rakyat melalui dasar yang lebih inklusif.


Pendekatan itu selari dengan agenda Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, pembangunan modal insan, jaringan perlindungan sosial serta pengagihan manfaat secara lebih adil.


Sekiranya dilaksanakan, manifesto "Johor Untuk Semua" bukan sekadar menawarkan bantuan kebajikan malah menggabungkan pertumbuhan ekonomi dengan pembangunan sosial negeri paling Selatan di Semenanjung itu.


Langkah itu bukan sahaja membolehkan Johor mampu muncul sebagai negeri paling pesat membangun malah menjadi negeri yang kemakmurannya benar-benar dikongsi oleh seluruh rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page