Manfaatkan AI untuk kemanusiaan, bukan lebarkan jurang - Anwar
- Helmi Mohd Foad

- Jun 9
- 4 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan, universiti dan syarikat teknologi memastikan kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk memperkukuh maruah insan dan bukannya memburukkan lagi ketidaksamaan serta jurang sosial.
Perdana Menteri menegaskan kemajuan teknologi semata-mata tidak boleh dianggap sebagai kemajuan sebenar tamadun manusia.
"Dunia kini sedang memasuki satu fasa perubahan teknologi yang besar, namun pada masa sama masih berdepan peperangan, ketidakadilan dan jurang pembangunan yang semakin melebar.
"Kita mesti membina sistem yang berkhidmat kepada manusia dan memperkayakan kemanusiaan kita, bukan merendahkannya," kata beliau ketika menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo, Jepun hari ini.
Menurut Anwar, masyarakat perlu berani bertanya sama ada AI benar-benar membantu manusia mencapai kemajuan atau sekadar memperkukuhkan kelemahan yang telah lama wujud dalam sistem sosial dan ekonomi dunia.
"Persoalan asasnya ialah adakah kemunculan AI membawa kita ke jalan kemajuan sebenar atau menyebabkan kita terus memperkukuhkan ketidaksempurnaan dan ketidaksamaan kita?" katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menjadi sebuah negara AI menjelang tahun 2030, namun matlamat tersebut tidak seharusnya diukur berdasarkan penggunaan teknologi atau pencapaian teknikal semata-mata.
"Bagi Malaysia, AI mesti menjawab keperluan pembangunan. Kita perlu meningkatkan produktiviti, memperbaiki perkhidmatan awam, menyokong guru, doktor, petani, jurutera dan penjawat awam," katanya.
"Kita mesti membentuk satu tamadun digital yang layak untuk manusia. Ini adalah cabaran besar."
Anwar berkata kemajuan teknologi telah membawa manfaat besar kepada manusia, daripada sistem pengairan dan enjin wap hinggalah kemudahan pengangkutan moden, namun ia tidak seiring dengan kemajuan moral dan kemanusiaan.
Merujuk kepada konflik yang sedang berlaku di beberapa wilayah dunia, beliau mempersoalkan sama ada manusia benar-benar belajar daripada sejarah meskipun berada pada era kemajuan teknologi yang luar biasa.
"Genosid di Gaza, pembunuhan kejam pelajar perempuan di Iran, pengeboman berterusan dan kemusnahan di Lebanon. Ironinya, kekejaman ini sebahagiannya dimungkinkan oleh revolusi digital dan kemajuan besar dalam AI,” katanya.
"Bolehkah kita dengan hati nurani yang bersih mendakwa bahawa kemajuan seperti ini benar-benar layak untuk umat manusia?"
Anwar berkata walaupun AI kini mampu menghasilkan teks, imej dan muzik yang semakin meyakinkan, teknologi tersebut masih tidak mampu menggantikan pengalaman manusia yang sebenar.
"Mesin boleh menghasilkan kata-kata yang menghiburkan tanpa pernah mengenal kesedihan atau menghasilkan permohonan maaf tanpa pernah melakukan kesalahan," katanya.
Beliau berkata model bahasa besar (LLM) mungkin mampu mempelajari apa yang patut diucapkan, tetapi tidak mampu memahami pengalaman emosi yang memberi makna kepada pertuturan manusia.
"LLM boleh belajar apa yang patut dikatakan. Apa yang tidak mampu dilakukannya ialah bercakap daripada luka, kasih sayang dan penyesalan yang memberikan nilai moral kepada pertuturan manusia," katanya.
Anwar turut memberi amaran bahawa AI berpotensi mengubah secara mendasar sifat pekerjaan manusia, daripada pencipta kepada sekadar penyelia proses yang dikendalikan mesin.
"Kita sedang berdepan satu perubahan paradigma yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang menurunkan peranan manusia daripada pencipta kepada sekadar pengurus dan penyelia," katanya.
Meskipun mengakui AI akan meningkatkan kecekapan, beliau berkata masyarakat tidak boleh mengabaikan kesannya terhadap pemikiran kritikal dan hubungan sesama manusia.
"AI akan terus menjadikan kerja lebih cekap tetapi perkara ini datang dengan harga yang mahal iaitu pengurangan pemikiran kritikal, hakisan kehidupan intelektual dan lebih buruk lagi kehilangan belas ihsan manusia," katanya.
Beliau berkata bidang seperti pendidikan, kejururawatan dan perubatan memerlukan sentuhan manusia yang tidak boleh digantikan sepenuhnya oleh teknologi.
"AI boleh membantu dalam banyak perkara tetapi kita tidak boleh membenarkan AI memiskinkan pengalaman manusia," katanya.
Anwar turut memberi amaran mengenai penumpuan kuasa teknologi di tangan segelintir negara dan syarikat besar dunia.
"Sistem yang membentuk dunia baharu ini memerlukan data, cip, tenaga, infrastruktur awan, bakat dan modal. Semua ini tidak diagihkan secara sama rata dan adil," katanya.
"Secara global, jurang digital semakin melebar dan bukannya semakin mengecil."
Beliau turut mengkritik kecenderungan sesetengah syarikat teknologi yang cuba menentukan hala tuju tamadun dan demokrasi dunia.
"Sekumpulan kecil pemilik modal dan konglomerat mahu menentukan apa yang dimaksudkan dengan tamadun, apa yang harus dianggap sebagai peperangan atau takdir sesebuah negara, dan mereka mahu menentukan masa depan demokrasi. Apa idea yang gila seperti itu," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata universiti mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan pembangunan teknologi sentiasa dipandu oleh nilai etika dan kebijaksanaan.
Beliau menegaskan tujuan utama pendidikan bukan hanya melahirkan individu berkemahiran tinggi tetapi juga membentuk watak dan keperibadian.
Justeru itu, Anwar mahu manusia sendiri menentukan hala tuju teknologi AI melalui undang-undang, institusi dan nilai yang dipilih masyarakat.
"Kecerdasan buatan akan terus berkembang, tetapi ia tidak hadir dengan tujuan yang sudah ditentukan. Tujuan itu akan dibentuk oleh manusia, oleh undang-undang, institusi, pasaran, universiti dan keberanian moral kita," katanya.
Beliau menegaskan, walau secanggih mana teknologi berkembang, terdapat nilai yang tidak boleh diwarisi atau digantikan oleh mesin.
"Masyarakat mesti mengingati perkara yang tidak boleh diwarisi oleh mana-mana mesin iaitu hati nurani, ihsan dan rahmah, tanggungjawab, integriti serta kepedulian terhadap sesama manusia," katanya.
Anwar berada di Jepun dalam rangka lawatan rasmi sehingga Rabu atas jemputan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.
Lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Jepun selain memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, transformasi digital, semikonduktor, peralihan tenaga dan teknologi baharu termasuk AI.
Jepun merupakan antara rakan dagang dan pelabur asing terbesar Malaysia, dengan kedua-dua negara kini memberi tumpuan kepada kerjasama dalam sektor teknologi tinggi dan pembangunan bakat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi masa depan.




Comments