Mampukah Dr Samsuri stabilkan PN, terlalu banyak tugas di negeri, pusat?
- Akmal Manaf

- Feb 25
- 1 min read

Pemusatan beberapa jawatan utama ke atas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menimbulkan tanda tanya sama ada beliau mempunyai kapasiti mencukupi untuk menerajui dan menstabilkan Perikatan Nasional (PN) yang sering bergolak sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Bagi Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian ialah pemusatan kuasa jika terlalu banyak jawatan penting tertumpu pada seorang individu.
Selain itu, katanya, timbul juga keraguan sama ada beliau mempunyai cukup masa untuk menyempurnakan semua tugasnya, terutama menyelesaikan perbalahan dalaman PN yang kronik.

"Ini ditambah pula kalau individu tersebut merupakan Menteri Besar (MB) negeri. Jadi di peringkat negeri dia ada dua atau mungkin tiga jawatan, di Persekutuan berapa jawatan nak bagi? Dia boleh (mampu) atau tidak?
"Bukan cakap dia tak boleh, (tapi) masih belum terbukti individu ini boleh atau tidak. Ia bukan soal layak atau tak layak, bukan juga soal siapa pegang jawatan lagi tinggi atau siapa lagi senior.
"Tapi mungkin soal kapasiti dan cara hendak menstrukturkan organisasi (yang dipimpin)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam siaran Podcast Kerusi Biru yang bertajuk ‘Satu Jawatan, Dua Kuasa: Mampukah MB Ganu Pikul PN Satu Malaysia’.
Untuk rekod, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu pada 22 Februari lalu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.
Ahmad Samsuri juga merupakan Ahli Parlimen Kemaman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.




Comments