Malaysia umum pertahan kerusi Majlis Kesatuan Telekomunikasi
- Suara Keadilan
- 7 days ago
- 1 min read

Malaysia mengumumkan pencalonan semula sebagai anggota Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030 sekali gus menzahirkan komitmen berterusan negara dalam memacu pembangunan digital global yang inklusif dan mampan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan perkara itu pada sesi Leaders’ Talk pada acara berprestij World Summit on the Information Society+20 High-Level Event (WSIS+20) yang berlangsung di Geneva, Switzeland hari ini.
"Malaysia menawarkan diri untuk terus berkhidmat dalam Majlis ITU bagi penggal 2027–2030. Matlamat kami jelas iaitu membina masyarakat global yang lebih bersambung, bermaklumat dan inklusif," katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi berkata ketika ini Malaysia memainkan peranan aktif dalam ITU termasuk penglibatan menjayakan inisiatif Partner2Connect, penerajui Kumpulan Kajian ITU serta menjadi tuan rumah kepada pelbagai program pembinaan kapasiti.
"Kami komited bekerjasama dengan semua rakan untuk meluaskan keterangkuman digital, memperkukuh daya tahan dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam era digital ini," tambah beliau.
Malaysia menyandang kerusi itu bagi penggal 2023–2026, membolehkan negara memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju strategik dasar ITU serta mewakili kepentingan rantau Asia dalam memperkukuh infrastruktur telekomunikasi dan digital di peringkat global.
ITU merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi telekomunikasi dan teknologi digital yang memperuntukkan spektrum frekuensi radio, membangunkan piawaian antarabangsa untuk memastikan keserasian rangkaian komunikasi serta berusaha merapatkan jurang digital di seluruh dunia.
Comments