Malaysia teroka sumber baharu pastikan bekalan minyak mencukupi
- Suara Keadilan

- 17 hours ago
- 1 min read

Bekalan minyak negara masih terkawal dan belum berada pada tahap kritikal, meskipun jaminan bekalan semasa hanya sehingga penghujung Julai, kata Menteri Ekonomi.
Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, kerajaan mengambil pendekatan lebih telus kepada rakyat dengan berkongsi maklumat mengenai bekalan tenaga semasa berdasarkan ketersediaan stok dari semasa ke semasa.
"Pengumuman ini dibuat secara telus selepas segala urusan kos dan sumber bekalan dimuktamadkan.
"Namun, ini tidak bermakna negara akan menghadapi krisis bekalan selepas Julai. Sebaliknya, kerajaan akan memberikan jaminan tempoh baharu sebaik sahaja bekalan seterusnya disahkan kelak," katanya dipetik.
Akmal ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Rabu.
Beliau diminta mengulas mengenai jaminan tempoh bekalan minyak negara yang dilaporkan mencukupi sehingga Julai ini.
Dalam perkembangan sama, Akmal Nasrullah memaklumkan Malaysia sedang giat meneroka sumber bekalan minyak mentah baharu termasuk dari benua Afrika, Rusia dan Turkiye.
Langkah tersebut jelasnya bagi memperkukuh keselamatan tenaga negara serta mengurangkan risiko akibat ketidaktentuan geopolitik global.
"Seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, proses mengenal pasti sumber baharu sememangnya sedang dilaksanakan. Antara kawasan yang sedang dinilai termasuk beberapa negara di Afrika, Rusia dan Turkiye.
"Namun, setiap bekalan minyak mentah mempunyai karakter yang berbeza. Sebab itu Petronas perlu menilai kesesuaian fasiliti sedia ada untuk menerima dan memproses bekalan berkenaan," tambahnya.




Comments