Malaysia tempat ke-12 negara paling aman di dunia
- Azuan Ab Rahman

- Jun 26
- 1 min read

Usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara keamanan, keselamatan dan kestabilan negara terus membuahkan hasil yang membanggakan.
Perkara itu terbukti apabila Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara paling aman di dunia apabila berada di kedudukan ke-12 daripada 163 negara dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, pencapaian itu sekaligus mengekalkan reputasi Malaysia sebagai antara negara paling aman di dunia.
"Pencapaian ini mencerminkan hasil usaha berterusan Kerajaan MADANI yang sentiasa meletakkan aspek keamanan, keselamatan, dan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi.
"Ini juga adalah hasil kerja keras seluruh pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan, serta semua pihak yang tidak pernah berkompromi dalam memelihara ketenteraman negara," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Terdahulu GPI 2026 meletakkan Singapura di kedudukan kelapan dunia, diikuti Jepun di tangga ke-10 dan Malaysia di tempat ke-12, menjadikan ketiga-tiga negara itu antara yang paling aman di rantau Asia.
Pencapaian itu sekali lagi mengukuhkan kedudukan Malaysia yang baru-baru ini melonjak ke kedudukan ke-15 daripada 70 negara dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 berdasarkan laporan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD).
Sementara itu, Saifuddin dalam hantaran sama menyatakan komitmen Kementerian Dalam Negeri untuk terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan awam, memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, memperketatkan kawalan sempadan negara, membanteras jenayah serta memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
"Usaha mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, selamat dan stabil akan terus diperkasakan demi manfaat seluruh rakyat," tambahnya.




Comments