Malaysia tawar diri terajui pelaksanaan protokol Sumud - Syed Ibrahim
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Malaysia telah menawarkan diri untuk memainkan peranan utama dalam pelaksanaan Protokol bantuan kemanusiaan Sumud.
Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia Untuk Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, perkara itu dinyatakan pada Kongres Parlimen Global Sumud di Brussels, Belgium baru-baru ini.
"Melalui Protokol Sumud, segala bentuk bantuan yang ingin disalurkan perlu mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai atau SOP yang utama.
"Langkah itu sekali gus dapat memastikan segala usaha dan bantuan global dalam membebaskan rakyat serta bumi Palestin lebih tersusun dan berkesan," katanya dipetik.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata begitu pada Majlis Penganugerahan Energy Management Gold Standard (EMGS) bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS) di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu beliau turut menyeru agar sokongan penuh kepada Palestin digerakkan secara kolektif melibatkan ahli parlimen, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak antarabangsa, bagi memberi tekanan kepada pihak yang melanggar hak asasi manusia, terutamanya di Palestin dan Lubnan.
Semua badan yang terlibat juga diminta berlaku adil serta memastikan tiada ketirisan dan layanan berat sebelah berkaitan hak asasi manusia.
"Bila ada keseragaman dan kesatuan yang tidak mengira jawatan, saya rasa ini satu titik tolak yang sangat berbeza dan penting.
"Untuk usaha-usaha tambahan dibuat di peringkat politik, di peringkat diplomatik, itulah juga yang dimaksudkan dengan Protokol Sumud, menjadikan misi ini sebagai pencetus yang akhirnya akan membawa tekanan yang lebih terhadap negara seperti di Amerika Syarikat, Eropah dan Israel," katanya.
Mengulas mengenai kongres Parlimen Global Sumud tempoh hari, Syed Ibrahim turut menzahirkan rasa bangga melihat usaha memperjuangkan pembebasan Palestin turut mendapat sokongan ahli-ahli parlimen berlainan agama dan bangsa.




Comments