Malaysia selesai isu sempadan, pelaburan rentas sempadan - PM
- Suara Keadilan
- Jul 30
- 2 min read

Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta dalam kerangka Perundingan Tahunan Ke-13 kedua dua negara membuahkan penyelesaian isu utama yang telah tertangguh sejak berdekad lalu.
Menurut Anwar dengan membawa kebersamaan warisan sejarah, keakraban budaya dan kepemimpinan yang teguh berprinsip maka rundingan beliau dengan Presiden Prabowo Subianto telah merungkaikan banyak perkara.
"Pelbagai isu telah dirungkai secara tegas, berani dan berhemat. Daripada penyelesaian mengenai sempadan maritim dan darat yang tertangguh sejak 45 tahun lalu, hingga pemeteraian pelaburan rentas sempadan di sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, dan keterjaminan makanan yang membawa maksud bahawa ia bukan sekadar proses diplomatik biasa, tetapi satu iltizam kenegaraan yang berpasak pada pragmatisme.
"Kita sepakat bahawa penyelesaian sempadan adalah lambang kedaulatan dan keyakinan bersama. Kita teguh dalam komitmen untuk mengangkat dan membela nasib nelayan, pekerja migran, komuniti sempadan dengan kebijakan yang berpihak pada maruah dan kemanusiaan.
"Justeru, ICQS Serikin akan menjadi pemangkin baharu kepada kesejahteraan di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan.
"Acara rundingan ini turut memungkinkan kerjasama masa depan yang lebih mendalam dalam bidang kesihatan, pendidikan tinggi, industri halal, serta pendigitalan," katanya dalam muat naik di Facebook.
Menurut PM lagi, semua perkara itu pastinya akan menyumbang ke arah pengukuhan hubungan dua negara, selain merintis hala tuju masa depan ASEAN yang lebih bersatu dan bersedia mendepani cabaran global, dari Myanmar hingga Gaza.
Katanya, Dalam kerangka ASEAN Malaysia akan terus memainkan peranan yang proaktif dalam mendepani konflik serantau dengan ketegasan dan hikmah, seperti yang terjelma dalam Mesyuarat Khas Kemboja-Thailand di Kuala Lumpur kelmarin.
"Dunia tentunya memerhati, dan Malaysia tidak akan berganjak dari prinsip keadilan, keamanan dan budaya wacana yang sihat.
"Mesti ditegaskan bahawa Malaysia tidak akan memilih jalan selesa dan sekadar reaktif. Kita memimpin dengan agenda yang jelas, membina dengan nilai, dan bergerak atas kekuatan prinsip.
"Hubungan Malaysia-Indonesia hari ini akan terpatri sebagai wahana ampuh kepada kebangkitan serantau yang jitu dan bermaruah," katanya lagi.

Untuk rekod, PM melakukan lawatan dua hari ke Indonesia dan penghujungnya untuk julung kalinya beliau mengunjungi Gedung Sekretariat ASEAN yang berpusat di Jakarta bersempena peranan penting Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Lawatan itu antara lain menggariskan serta menonjolkan lambang komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap cita dan semangat ASEAN yang kental dan luhur.
Comments