Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sedia membantu Bangladesh dalam usaha memulihkan keamanan dan kestabilan susulan pelantikan Muhammad Yunus sebagai ketua penasihat kerajaan interim negara itu.
Anwar yang membuat panggilan telefon kepada Muhammad Yunus pada malam Selasa berkata, pihaknya juga gembira dengan jaminan yang diberikan oleh beliau untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti.
"Malam tadi saya telah membuat panggilan telefon kepada sahabat lama saya, Prof Muhammad Yunus bagi mengucapkan tahniah dan bertanyakan khabar susulan pelantikan beliau
"Justeru itu, saya telah memberi jaminan kesediaan Malaysia untuk membantu Bangladesh mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke arah pembangunan semula negara itu," kata Perdana Menteri Anwar di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata, Muhamad Yunus mempunyai sejarah hubungan baik dengan Malaysia dan beliau menjemputnya untuk melakukan lawatan pendek ke Bangladesh bagi mengukuhkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Dhaka.
"Prof. Yunus menjemput saya untuk melakukan lawatan pendek ke Bangladesh dalam masa yang terdekat bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan di antara kedua-dua negara," ujarnya.
Muhammad Yunus, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2006 yang berpengalaman luas dalam bidang mikro kredit dilantik mengetuai kerajaan interim pada pada 6 Ogos lalu susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Sheikh Hasina yang melarikan diri dari negara itu.
Hasina berundur setelah berminggu-minggu berlaku protes berdarah sejak Julai lalu yang mengorbankan lebih 300 nyawa apabila pasukan keselamatan dan penyokong Liga Awami 'bertempur' untuk menghalang protes pelajar universiti terhadap dasar kuota pekerjaan dalam perkhidmatan awam.
Muhammad Yunus, 84, yang terkenal di seluruh dunia sebagai pengasas 'bank orang miskin' baru tiba dari luar negara beberapa jam sebelum majlis angkat sumpah menyatakan tekad untuk 'menegakkan, menyokong dan melindungi Perlembagaan', di hadapan pemimpin politik, masyarakat sivil, jeneral serta diplomat di istana presiden.
"Hari ini adalah hari yang gilang gemilang bagi kami.
"Bangladesh mencipta hari kemenangan baharu dan memperoleh kemerdekaan kedua," kata pemimpin berusia 84 tahun itu kepada pemberita ketika pulang ke Dhaka dari Eropah.
Yunus menggesa pemulihan ketenteraman di negara Asia Selatan itu selepas insiden keganasan berlanjutan berminggu-minggu hingga sekurang-kurangnya 455 orang terbunuh, menurut laporan media antarabangsa.
Lebih daripada 12 anggota Kabinetnya, yang tidak diberi jawatan menteri tetapi digelar penasihat, turut mengangkat sumpah.
Kumpulan itu termasuk dua pemimpin tertinggi kumpulan Mahasiswa Menentang Diskriminasi yang mengetuai protes selama berminggu-minggu, Nahid Islam dan Asif Mahmud.
Individu lain termasuk bekas peguam negara, peguam alam sekitar dan aktivis hak asasi terkemuka, Adilur Rahman Khan yang dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun ketika pemerintahan Hasina.
*Kredit foto: Wikipedia
Comments