top of page

Malaysia perlu imbangi keselamatan bekalan, peralihan tenaga

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Cabaran sektor tenaga hari ini menuntut keseimbangan antara keselamatan bekalan dan peralihan kepada tenaga mampan.


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, landskap tenaga global yang semakin kompleks akibat ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta perubahan teknologi memerlukan Malaysia membina sistem tenaga yang lebih berdaya tahan.


Namun, langkah tersebut perlu disusuli strategi peralihan tenaga yang terancang berdasarkan realiti semasa serta aspirasi jangka panjang.


"Sebarang gangguan bekalan boleh menjejaskan kebolehdapatan tenaga pada harga berpatutan. Peralihan kepada tenaga mampan penting bagi memastikan bekalan kekal stabil serta menyokong pertumbuhan ekonomi.


"Oleh itu, cabarannya bukan untuk memilih salah satu, sebaliknya mengurus kedua-duanya secara seimbang demi memperkukuh daya saing jangka panjang negara," katanya dipetik laporan media.


Beliau berkata begitu dalam ucapan pada Pameran Oil & Gas Asia (OGA) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.


Dalam konteks industri minyak, gas dan perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE), Akmal berkata, Malaysia sudah membangunkan keupayaan besar hasil lebih empat dekad aktiviti minyak dan gas.


Syarikat tempatan menurutnya telah membina kepakaran dalam pelbagai bidang kejuruteraan serta logistik, selain menjana pekerjaan dan membangun kepakaran teknikal.


"Bagaimanapun, landskap tenaga global sedang berubah, industri OGSE Malaysia tidak boleh sekadar melakukan perkara yang sama dalam skala lebih besar.


"Syarikat OGSE perlu bergerak daripada penyedia perkhidmatan kepada rakan teknologi, daripada melaksanakan kontrak individu kepada menyediakan penyelesaian bersepadu serta daripada bersaing terutama di pasaran domestik kepada berkembang di peringkat serantau dan antarabangsa," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page