Malaysia perlu bebas cengkaman pemikiran kolonialisme - Anwar
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia perlu membebaskan diri daripada pemikiran kolonial dengan membina sistem pendidikan, ekonomi, budaya dan kenegaraan yang berteraskan identiti sendiri, bukan terus bergantung kepada acuan Barat.
Perdana Menteri berkata kemerdekaan tidak seharusnya difahami sekadar mengakhiri penjajahan fizikal sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pembinaan jati diri dan pemikiran yang bebas daripada pengaruh kolonial.
"Tanggungjawab generasi saudara-saudari ini... itu memenuhi maksud memaknai kemerdekaan.
"Ada yang generasi pertama yang merdeka, pemikirannya macam separuh Inggeris, kulitnya sawo matang, tapi kalau tanya program pendidikan, harus Inggeris. Bahasa, harus Inggeris. Budaya, harus Inggeris. Sistem ekonomi, harus Barat. Sistem politik dan kenegaraan, harus Barat.
"Kerana sementara merdeka, bagi mereka itu hanya menggantikan Inggeris itu dengan Melayu dan dianggap beres," katanya dipetik laporan media tempatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di Universiti Islam Selangor (UIS), Bangi hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Naib Canselor UIS Datuk Prof Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia perlu menguasai teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum, namun dalam masa sama tidak boleh kehilangan akar budaya dan nilai sendiri.
"Nak bangunkan itu mesti ada, sepertimana yang kita cuba ungkapkan dalam MADANI ini, nilai dan akhlak.
"Ya, kita menggapai yang di langit teknologi baharu, artificial intelligence, quantum computing. Tak ambil itu, kita tercorot, terkebelakang.
"Tetapi kalau ambil yang itu... sementara kita menggapai yang di langit, kita mengakar ke bumi. Apa dia mengakar ke bumi? Mesti akidah, akhlak, nilai, ihsan. Itu yang mengakar ke bumi. Budaya kita. Jati diri dan itu dia mengisi kemerdekaan."
Anwar turut menegaskan perubahan negara perlu dilakukan secara berperingkat dengan mengambil iktibar daripada pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang mengutamakan keamanan dan perpaduan negara.
"Apa jawab Khalifah Umar Abdul Aziz? Dia kata, 'La ta'jal ya bunayya', (anaknya Abdul Malik) jangan gopoh wahai anakku yang dikasihi.
"...Katanya sebagai seorang khalifah, maknanya pimpinan negara, dasar utamanya adalah keselamatan negara dan perpaduan. Itu yang utama.
"Kalau tidak dijaga ini, kamu buat perubahan, orang kata reformasi lambat, buat cepat, tidak terjamin perpaduan dan keselamatan. Tapi tekad jangan hilang. Perubahan mesti dilakukan walaupun kadarnya berperingkat," jelasnya.
Memetik kupasan sarjana Islam dari Sudah, Syeikh Jaafar Idris, Perdana Menteri berkata kefahaman Islam memerlukan proses perubahan selain kesedaran bertahap.
"Tidak boleh sergah dan bawa perubahan mendadak, akan memusnahkan dan merosakkan," katanya.
Anwar mengimbau kembali keadaan ketika tahun 90-an apabila masyarakat Islam di negara ini bergelut dengan masalah "fahaman orang mengkafirkan dan memunafikkan dengan mudah dan minta perubahan, mahu menegakkan Islam segera".
"Saya kata bagaimana nak jawab, bagaimana nak tangani masalah ini? Kalau kita buat, hancur," katanya.
Justeru itu katanya, perubahan tersebut dilakukan dari hati nurani sebagaimana disarankan melalui pemikiran sarjana Islam Sudan itu.
"Hidup seorang muslim itu tidak pernah selesa dengan apa yang ada. Syukurnya yang ada, tapi sentiasa mahu bawa perubahan, kebaikan dan kepada ketakwaan," katanya yang memetik pengertian daripada Surah Al-Sham, ayat 7-10.
