Malaysia perkukuh reformasi kesihatan paru-paru, akses saringan awal
- Helmi Mohd Foad

- 5 hours ago
- 2 min read

Malaysia sedang memperkukuh reformasi sistem kesihatan paru-paru negara menerusi pendekatan rawatan bersepadu yang bakal diperluaskan ke 902 klinik kesihatan di seluruh negara menjelang 2026.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu membolehkan rakyat mendapat akses saringan awal, rawatan dan pencegahan penyakit pernafasan secara lebih cepat serta menyeluruh.
"Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha besar Malaysia merombak sistem penjagaan paru-paru yang sebelum ini bergerak secara berasingan walaupun penyakit seperti batuk kering (TB), kanser paru-paru, komplikasi vape dan penyakit pernafasan kronik mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain.
"Realitinya, hampir 95 peratus kes kanser paru-paru di Malaysia masih dikesan pada tahap tiga dan empat. Ini membuktikan pendekatan lama yang beroperasi secara silo tidak lagi memadai dan perlu diubah segera," katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau mengulas ucapanya pada acara tambahan Forum Kesihatan Paru-Paru sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (#WHA79) di Geneva.
Menurut Dzulkefly, pendekatan baharu itu akan menyatukan pelbagai perkhidmatan berkaitan paru-paru di bawah sistem penjagaan primer termasuk saringan kanser, rawatan asma, imunisasi pernafasan dan bantuan berhenti merokok supaya rakyat tidak lagi terlalu bergantung kepada hospital besar untuk mendapatkan rawatan awal.
"Kita mahu rakyat mendapat rawatan lebih dekat dengan komuniti masing-masing tanpa perlu berulang-alik jauh ke hospital besar semata-mata untuk saringan dan rawatan awal," katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau berkata inisiatif LungShield akan diperkasakan menerusi kerjasama strategik awam-swasta bersama National Cancer Society Malaysia (NCSM), IHH Healthcare dan AstraZeneca.
Menurutnya, inisiatif itu melibatkan penggunaan teknologi X-Ray mudah alih berasaskan kecerdasan buatan (AI) di kawasan pedalaman dan komuniti berisiko tinggi selain penyediaan skim perlindungan insurans mikro kepada petugas barisan hadapan termasuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kita mahu teknologi kesihatan moden dapat dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk komuniti pedalaman dan kumpulan berisiko tinggi," ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia turut membangunkan National Lung Health Registry (NALURY) bagi memperkukuh pengumpulan data kesihatan paru-paru negara supaya setiap dasar dan tindakan kesihatan dapat digerakkan secara lebih tepat serta berasaskan bukti saintifik.
Dzulkefly berkata segala usaha reformasi kesihatan paru-paru negara itu turut dihimpunkan dalam buku khas bertajuk A Breath For The Future yang akan dikongsi bersama negara-negara anggota lain sepanjang persidangan tersebut.
Beliau turut menggesa World Health Organization (WHO) dan negara-negara anggota menjadikan agenda kesihatan paru-paru sebagai keutamaan global demi memastikan manfaat rawatan dan pencegahan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat terutama golongan paling rentan.
"Resolusi antarabangsa hanya benar-benar bermakna apabila manfaatnya sampai kepada rakyat, khususnya kelompok paling rentan. Kita mahu sistem kesihatan yang lebih adil, manusiawi dan berdaya tahan demi memuliakan nyawa setiap insan," katanya lagi.




Comments