'Jika Dr Akmal tidak mahu bersama Perpaduan, lawan saja secara terbuka'
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Nabil Halimi memberi 'amaran' kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh agar tidak terus bermain tarik tali jika benar sudah tidak mampu bersama dan merasakan kerjasama politik yang terjalin sebagai satu beban.
Nabil berkata, pihaknya sudah 'penat' dengan ugutan berulang kali yang dilakukan Akmal untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan sejak awal penubuhannya sehingga menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Namun sehingga kini ujarnya, tiada sebarang tindakan atau hasil daripada ancaman tersebut.
"Kalau benar sudah tidak mampu bersama dan merasakan kerjasama ini satu beban, maka tidak perlu terus bermain tarik tali politik.
"Kita lawan sahaja secara terbuka dan habis-habisan di medan demokrasi. Rakyat sendiri akan menilai siapa yang benar-benar ikhlas bekerjasama demi membina negara dan siapa yang gila kuasa," kata Nabil sambil menyelar ADUN Merlimau itu.
Semalam, media melaporkan Akmal berkata sudah tiba masanya UMNO membuat keputusan keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Hal itu, ujarnya berikutan kelantangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang bertekad untuk menguburkan BN buat kali kedua pada PRN di Johor akan datang.
Menurut beliau, PH sepatutnya bergembira dengan keputusan BN Johor bertanding semua 56 kerusi DUN kerana keputusan itu secara tidak langsung membuka peluang untuk PH Johor bertanding lebih banyak kerusi seperti yang diidamkan gabungan itu.
Bagaimanapun, hari ini Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya berpendirian bahawa persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Ke-15 adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik yang berpanjangan dan persefahaman itu disepakati hingga mandat berakhir.
Justeru ujarnya, tidak timbul persoalan BN mengkhianati Kerajaan Perpaduan dalam kes bergerak secara solo di Johor, dan BN akan terus memainkan peranan memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat.




Comments