BN tegaskan komitmen bersama Kerajaan Perpaduan
- Redzuan Shamsudin

- 56 minutes ago
- 1 min read

Barisan Nasional (BN) Malaysia menegaskan komitmennya terhadap Kerajaan Perpaduan sambil menolak dakwaan gabungan itu mengkhianati persefahaman politik yang dimeterai selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar) berkata, BN menghormati pendirian yang disuarakan oleh kepimpinan negeri Johor berhubung hala tuju dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang untuk bergerak secara solo di negeri berkenaan.
"Barisan Nasional Malaysia menghormati pendirian yang disuarakan oleh Barisan Nasional Negeri Johor berhubung hala tuju serta persiapan menghadapi PRN akan datang selaras pandangan semua pihak dalam parti komponen Barisan Nasional Negeri Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun menurut beliau, pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 di peringkat Persekutuan adalah berasaskan tanggungjawab kenegaraan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
"Persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU ke-15 adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik yang berpanjangan dan persefahaman ini disepakati hingga mandat berakhir," ujarnya.
Sehubungan itu, Dr Zambry menegaskan tidak timbul isu pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan dalam kes negeri Johor seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Tambahnya, BN Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan kerajaan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
"Barisan Nasional akan terus memainkan peranan memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.




Comments