Malaysia pastikan AI untuk semua, bukan hanya golongan kaya, di bandar
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digerakkan oleh kerajaan adalah untuk dimanfaatkan semua rakyat, sambil memastikan tiada sesiapa ketinggalan dalam era digital yang pesat berkembang pada masa kini.
Beliau berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang memperkenalkan teknologi AI untuk dimanfaatkan oleh semua rakyat.
"Kita bawa perubahan (iaitu) transformasi digital. Kita gunakan teknologi baharu iaitu AI.
"Tapi kalau ini hanya dimanfaatkan oleh golongan yang berada, keluarga kaya dan ada kesenjangan. Perbezaan antara kota besar dan daerah kecil, sebab itu saya katakan yang penting (ialah) keadilan semua.
"Maknanya (AI diperluas) di semua peringkat (seperti) sekolah termasuk di Tawau, Keningau, Kuala Lumpur dan Manek Urai di Kelantan.
"Kita mahu memastikan jangan ada rakyat, anak-anak, keluarga di kawasan pedalaman, kampung dan miskin desa yang ketinggalan (dengan dunia teknologi)," katanya dalam ucaptama sempena Majlis Perasmian Jelajah Malaysia Digital, di Tawau Sabah hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, menegaskan dasar Kerajaan MADANI menekankan agar tiada sesiapa ketinggalan, terutamanya dalam era digital.
"Jadi, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ditugaskan sampaikan maklumat itu ke peringkat bawah (dasar) seperti golongan peniaga-peniaga kecil
"Semua syarikat besar termasuk peniaga dan bank di Malaysia kini telah menggunakan teknologi digital.
"Seperkara lagi, pusat data dan teknologi AI di Malaysia kini menjadi tarikan global. Malaysia antara negara utama di Asia Tenggara yang menarik minat pelabur asing, termasuk syarikat besar seperti Google, Microsoft, dan Infineon," katanya lagi.





