top of page

Malaysia masuk era baharu mineral kritikal tanpa gadai kedaulatan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 40 minutes ago
  • 3 min read
ree

Oleh: Helmi Foad


Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia bukan sekadar acara diplomatik sebaliknya turut menandakan satu fasa baharu sektor mineral kritikal negara apabila termeterai perjanjian penting mengenai unsur nadir bumi (REE), kata seorang Ahli Parlimen kerajaan.


Melalui perjanjian antara Washington dan Kuala Lumpur itu, negara kini berpeluang membangunkan industri bahan mentah bernilai tinggi seperti REE, dari lombong hingga produk teknologi canggih seperti penghasilan magnet nadir bumi dan cip mikro yang amat diperlukan dalam industri kenderaan elektrik dan teknologi hijau.


Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How (gambar) yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen bagi Mineral Kritikal menjelaskan bahawa perjanjian tersebut merupakan peluang besar untuk Malaysia daripada menjadi pengeluar bahan mentah kepada tahap yang lebih luas dalam industri pembuatan berteknologi tinggi.


"Ini bukan cerita tentang 'gali dan eksport' tetapi tentang membina ekosistem lengkap, dari lombong hingga magnet, hingga ke pasaran teknologi tinggi," katanya dalam kenyataan.


Howard Lee menekankan beberapa aspek penting dalam perjanjian tersebut yang dilihat memberi Malaysia kelebihan besar dalam pasaran global mineral kritikal negara ini Malaysia komited untuk tidak mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport bahan mentah kritikal termasuk unsur nadir bumi ke AS.


"Pelabur dari Amerika Syarikat akan diberikan lesen operasi yang lebih panjang, memberi kepastian kepada syarikat untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran di Malaysia.


"Tiada sekatan dikenakan terhadap penjualan magnet nadir bumi kepada syarikat-syarikat Amerika, menjadikan Malaysia sebagai sumber utama bekalan teknologi magnet," katanya.


Menurut Howard Lee, klausa "tiada larangan, tiada kuota" bukan sahaja menguntungkan Malaysia dalam perdagangan malah memberi ruang kepada negara ini untuk berkembang dalam sektor hiliran, daripada bahan mentah kepada produk bernilai tinggi.


Dalam hal berkenaan, beliau menjelaskan, perjanjian tersebut tidak akan mencetuskan ketegangan dengan China yang merupakan pemain utama industri mineral kritikal global memandangkan Malaysia kekal mengamalkan sikap neutral dan tidak akan terjebak dengan konflik kuasa besar.


"China tidak akan 'cemburu' jika Malaysia menambah AS sebagai rakan kongsi kerana itu adalah keputusan berdasarkan keperluan dan undang-undang kita.


"Malaysia mengamalkan dasar yang jelas, tidak berpihak kepada mana-mana negara, tetapi lebih kepada kepentingan negara," katanya.


Tambah beliau Malaysia berpegang pada prinsip “ASEAN centrality” dan memastikan bahawa negara tetap menjadi hab ekonomi yang neutral, dengan membina hubungan baik dengan pelbagai negara termasuk AS dan China.


"Dengan berhubung rapat dengan kedua-dua kuasa besar ini, Malaysia akan dapat mengurangkan risiko kebergantungan terhadap satu pihak dan meningkatkan kuasa tawar-menawar kita di pentas global," kata beliau.


Ujarnya, perjanjian itu juga memberi impak besar kepada negeri-negeri yang mempunyai potensi besar dalam sumber mineral kritikal seperti Perak, Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Sabah.


Lee menegaskan hasil daripada mineral kritikal mesti dimanfaatkan secara adil dan menguntungkan semua pihak, tanpa mengira sempadan politik negeri.


Beliau turut mencadangkan agar sebuah entiti strategik mineral nasional ditubuhkan bagi menyelaraskan usaha negeri-negeri dalam menarik pelaburan dan memastikan perundingan yang lebih terkoordinasi dengan pelabur asing.


Dalam perkembangan sama, Howard Lee mahu Malaysia memastikan bahawa kemajuan dalam sektor mineral kritikal ini tidak mengabaikan keperluan kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial.


Tegas beliau, Malaysia harus menjadi peneraju dalam perlombongan yang mesra alam dan bertanggungjawab secara sosial.


Howard Lee juga menyarankan agar teknologi canggih digunakan dalam pengawasan alam sekitar termasuk dron dan imej satelit untuk memantau aktiviti perlombongan serta memastikan komuniti sekitar mendapat manfaat daripada hasil perlombongan melalui pendidikan, infrastruktur dan peluang pekerjaan.


"Kita mesti memastikan bahawa operasi perlombongan dilakukan dengan penuh tanggungjawab terhadap alam sekitar. Tiada ESG (Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus), tiada industri. Semua operasi mesti dilakukan dengan teknologi terkini dan ketelusan tinggi," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page