top of page

Malaysia MADANI bukan sekadar slogan, ada nilai, integriti - Zunar

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 56 minutes ago
  • 2 min read
Zunar (kanan) menjawab pertanyaan Liyana seputar karya terbaharu beliau ‘Membangun Masyarakat MADANI’
Zunar (kanan) menjawab pertanyaan Liyana seputar karya terbaharu beliau ‘Membangun Masyarakat MADANI’

Penerbit buku ‘Membangun Masyarakat MADANI’, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar berkata, beliau tertarik menghasilkan karya itu kerana melihat Gagasan Malaysia MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar slogan, sebaliknya menekankan nilai, ilmu, akhlak dan integriti dalam pembangunan negara.


Katanya, beliau jarang melihat seorang pemimpin memberi penekanan secara konsisten terhadap isu integriti, tadbir urus, ilmu dan pembanterasan rasuah sehingga menjadikannya sebagai teras kepada agenda pembangunan negara.


Sehubungan itu, beliau berkata buku berkenaan dihasilkan bertujuan menyampaikan mesej mengenai kepentingan ilmu, akhlak dan integriti kepada masyarakat melalui pendekatan yang lebih mudah difahami.


"Bila saya tengok keadaan sekarang, ada sesuatu yang berbeza. Apabila MADANI mula diperkenalkan, saya menyangka ia pasti slogan mereka.


"Dulu setiap perdana menteri datang dengan slogan, tapi apabila saya lihat ini (Kerajaan MADANI) sesuatu yang berbeza, kerana ada nilai," katanya.


Karya terbaharu Zunar berkisar Malaysia Madani yang cuba membangun pelbagai nilai mulia
Karya terbaharu Zunar berkisar Malaysia Madani yang cuba membangun pelbagai nilai mulia

Beliau berkongsi mengenai buku berharga RM20 senaskhah itu dalam program Bicara Santai: ‘Saling Tanya Buku Terbaru’ anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.


Menceritakan lebih lanjut, kartunis reformasi itu berkata, pembangunan tidak seharusnya ditafsirkan semata-mata sebagai kemajuan fizikal, sebaliknya perlu disertai usaha membangunkan modal insan yang berteraskan nilai dan akhlak.


"Kalau kita cerita tentang rasuah, integriti dan tata kelola, berbuih mulut seorang pemimpin menegaskan (perkara itu).


"Ini sesuatu yang saya tak pernah tengok. Sudah banyak siri perdana menteri saya lalui (sebelum ini), (tapi) saya tak pernah tengok perdana menteri (iaitu Anwar) yang menekankan betul-betul tentang nilai, ilmu, akhlak dan integriti.


"Kerana itu saya ingin kongsikan tentang buku ini. (Ia) bukan arahan sesiapa (dan) tidak ada orang suruh saya terbitkan, (tapi) saya sangat tertarik (dengan) nilai, ilmu dan akhlak ini," ujarnya lagi.


Katanya, pembangunan negara yang mampan perlu diseimbangkan dengan pembentukan nilai dan akhlak dalam kalangan masyarakat.


"Sebab itu matlamat saya nak buat buku ini (ialah) saya nak tekankan bersama iaitu pembangunan negara yang melawan rasuah dan sebagainya bersama ilmu dan akhlak.


"Cara terbaik (saya sampaikan mesej itu) adalah buat dalam bentuk kartun (visual)," katanya sambil memaklumkan beliau mengambil masa kira-kira setahun menyiapkan buku tersebut dan menganggap bakat yang dimiliki sebagai tanggungjawab untuk menyampaikan mesej bermanfaat kepada masyarakat.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page