Malaysia 'kuasa sederhana' disaran jadi perantara pelan damai Asia Barat
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Malaysia disaran tampil menjadi pengantara utama dalam konflik Asia Barat dengan menggerakkan usaha diplomasi aktif bersama negara kuasa sederhana lain bagi mencari penyelesaian damai yang berkekalan.
Pengerusi International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), Dr Maszlee Malik (gambar) berkata negara seperti Malaysia perlu memainkan peranan lebih besar memandangkan kegagalan kuasa besar dalam meredakan konflik.
"Negara kuasa sederhana, khususnya yang mempunyai kredibiliti merentasi perbezaan mesti tampil ke hadapan bukan sebagai pihak berkepentingan tetapi sebagai pendamai. Malaysia, saya yakin, berada dalam kedudukan unik untuk memikul peranan ini," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri sebagai pengantara termasuk kedudukan geografi yang jauh daripada konflik, pendirian berkecuali serta ketiadaan kepentingan strategik.
"Jarak geografi kita daripada konflik, sikap berkecuali yang tulen serta ketiadaan kepentingan langsung memberikan kita gabungan kelebihan yang jarang dimiliki negara lain," ujarnya.
Maszlee menegaskan usaha itu tidak harus dilakukan secara bersendirian sebaliknya digerakkan melalui pembentukan gabungan antarabangsa.
"Kita tidak seharusnya bertindak bersendirian. Kita perlu menjemput Afrika Selatan dan Brazil untuk menyertai kita dalam satu gabungan komited yang mampu menawarkan jalan keluar bermaruah daripada peperangan," kata beliau sambil menyatakan gabungan dua negara itu akan memperkukuh kredibiliti serta keupayaan Malaysia dalam memimpin rundingan damai.
Beliau mencadangkan agar Malaysia mengemukakan tawaran rasmi sebagai pengantara kepada pihak terlibat.
"Pertama, tawaran bersama sebagai pengantara. Perdana Menteri Malaysia bersama Presiden Afrika Selatan dan Brazil perlu secara rasmi mengemukakan tawaran kepada kerajaan Iran dan negara-negara GCC untuk menjadi tuan rumah perundingan di lokasi berkecuali," katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan penganjuran sidang tergempar melibatkan dunia Islam bagi menyokong usaha damai.
"Malaysia perlu menganjurkan mesyuarat tergempar menteri luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berteraskan tema sumber peradaban Islam untuk keamanan," saran beliau.
Bekas Menteri Pendidikan itu menekankan kepentingan membina gabungan lebih luas melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
"Gabungan ini harus berteraskan pendekatan dialog peradaban… dengan menghimpunkan bukan sahaja wakil kerajaan tetapi juga ulama, intelektual dan pemimpin masyarakat sivil."
Dalam masa sama, beliau mencadangkan pendekatan pelbagai saluran termasuk dialog tidak rasmi bagi membina kepercayaan.
"Malaysia perlu mencadangkan penubuhan saluran selari yang menghimpunkan pemimpin agama, intelektual dan tokoh budaya… bagi mewujudkan ruang membina kepercayaan yang tidak mampu dicapai melalui diplomasi rasmi semata-mata."
Maszlee menegaskan kekuatan Malaysia sebagai pengantara terletak pada kepercayaan dan berkecuali dan bukannya berdasarkan kekuatan ketenteraan.
Beliau turut menolak kebimbangan bahawa usaha tersebut boleh menjejaskan hubungan dengan kuasa besar.
"Usaha pengantaraan berprinsip bukan satu tindakan memusuhi Amerika Syarikat sebaliknya satu bentuk kepimpinan negara yang bertanggungjawab."
Menurutnya, peranan sebagai pengantara juga perlu berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa.
"Sebarang usaha pengantaraan mesti bermula dengan pengiktirafan jelas bahawa hak Iran untuk mempertahankan diri bukan soal simpati politik tetapi soal undang-undang antarabangsa dan keadilan asas," jelas beliau.




Comments