top of page

'Malaysia kena jual minyak murah, negara Arab pun minyak mahal'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Tulisan terbaharu Minda Presiden Pas yang membayangkan harga minyak di negara ini boleh dijual lebih rendah sekiranya menggunakan sepenuhnya sumber petroleum tempatan dan bekerjasama dengan negara Islam pengeluar minyak lain bertentangan realiti semasa.


Menurut Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN Selangor, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, harga tanpa subsidi minyak bukan sahaja naik di Malaysia malah di negara-negara Arab juga, susulan konflik dan kerosakan infrastruktur pengeluaran ketika ini.


Katanya, negara Teluk pengeluar petroleum seperti Qatar atau Emiriah Arab Bersatu (UAE) terganggu dan beberapa kali menghentikan operasi pengeluaran minyak akibat pengeboman Iran.


"Saya rasa kebanyakan negara negara Arab atau Asia Barat, mereka bukan tak nak berkongsi (minyak) tetapi mana-mana negara yang mempunyai simpanan yang besar sekalipun berdepan kerosakan mesin dan jentera akibat peperangan.


"Bagi negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, hubungan baik diperlukan untuk membolehkan pengeluaran dan penghantaran minyak melalui laluan seperti Laut Merah. Namun dalam keadaan semasa, harganya tetap tinggi (berasaskan pasaran global) dan sudah pasti dijual pada kadar mahal," katanya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi Suara Keadilan bagi mengulas isu harga bahan api susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.


Dalam pada itu, Mohd Zawawi turut memuji Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas hubungan baik yang terjalin dengan negara-negara Arab yang memudahkan Malaysia mendapat bekalan petroleum mentah.


Beliau berkata, hasilnya dapat dilihat apabila kapal Malaysia berjaya melalui laluan strategik seperti Selat Hormuz tanpa dikenakan sekatan atau bayaran tambahan, susulan hubungan diplomatik yang kukuh.


"Ia menimbulkan rasa cemburu dalam kalangan negara-negara lain, dan pembangkang seolah-olah cuba mengaburi atau menutup kehebatan PM Anwar dengan mengemukakan alasan-alasan yang nampak remeh," katanya lagi.


Kelmarin, Kerajaan MADANI menolak dakwaan Presiden Pas, Hj Hadi Awang kononnya kenaikan harga minyak di Semenanjung Malaysia tidak berasas.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, langkah tersebut selaras dengan situasi pasaran global dan tidak boleh dipandang ringan.


Fahmi yang juga Ketua Penerangan KEADILAN berkata, kenaikan harga diesel dan petrol berlaku bukan sahaja di Malaysia malah negara pengeluar utama minyak seperti UAE turut menaikkan harga bagi mengekalkan keseimbangan pasaran.


Untuk rekod, negara pengeluar minyak seperti UAE telah menaikkan harga petrol domestik susulan konflik Asia Barat. The Times of India melaporkan UAE sejak April 2026 menaikkan harga petrol sehingga RM4.80 seliter, hampir menyamai petrol tidak bersubsidi di Malaysia.


Di Arab saudi pula harga petrol RM2.50 seliter melebihi harga bersubsidi di Malaysia RM1.99 seliter.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page