Malaysia kekal pengeksport LNG kelima terbesar dunia


Malaysia kekal sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG) kelima terbesar dunia sekali gus perlu memastikan keseimbangan antara kepentingan pasaran eksport dengan keperluan bekalan tenaga domestik dan industri.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ketidaktentuan geopolitik global menuntut Malaysia memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam sektor gas asli bagi memastikan keselamatan tenaga negara terus terpelihara.
"Hal ini kerana walau apa pun keadaannya, kita perlu terus menyeimbangkan kepentingan pasaran eksport dengan keperluan bekalan dalam negara termasuk untuk kegunaan domestik dan perindustrian," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Peringkat Menteri Ke-28 Gas Exporting Countries Forum (GECF) di World Trade Center, Moscow, Rusia bagi mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Rusia Vladimir Putin, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Iran Masoud Pezeshkian serta pemimpin dari Algeria, Mozambique, Libya dan Guinea Khatulistiwa.
Akmal berkata Malaysia turut menegaskan komitmen terhadap peralihan tenaga menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menetapkan sasaran meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu kepada 70 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang penjanaan elektrik menjelang 2050.
Menurut beliau usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu perlu bergerak seiring dengan keperluan mengekalkan kestabilan bekalan tenaga ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.
"Insya-Allah, kita terus bersiap siaga untuk memastikan keselamatan tenaga negara terus terpelihara, meneroka peluang kerjasama strategik yang mampan di peringkat global serta memacu masa depan tenaga yang lebih hijau dan stabil tatkala menghadapi ketidaktentuan geopolitik global," katanya.




Comments