top of page

Malaysia kecam tindakan provokatif Zionis Israel terhadap Al-Aqsa

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan Malaysia mengutuk keras tindakan provokatif seorang menteri rejim Zionis Israel memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa (gambar) di Baitul Maqdis Timur pada 7 April ketika kawasan tersebut ditutup kepada jemaah Islam.


Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Rabu menegaskan tindakan biadap itu satu bentuk pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menghina tapak suci umat Islam itu.


"Malaysia menekankan bahawa perlindungan dan penghormatan terhadap Al‑Aqsa dan tapak suci lain di Baitulmaqdis adalah kewajipan yang tidak boleh dirunding di bawah undang-undang antarabangsa,.


"Tindakan melulu seperti itu menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau, dan mencabul hak agama umat Islam di seluruh dunia," menurut kenyataan itu.


Wisma Putra sementara itu menuntut langkah-langkah konkrit untuk mencegah pelanggaran selanjutnya dan memastikan tapak suci Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi dan boleh diakses oleh semua penganut.


Sementara itu, Malaysia turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengecam dengan keras tindakan Israel dan menuntut agar ia segera menghentikan semua tindakan agresif, menghormati kesucian tapak suci dan mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.


Malaysia menekankan semula solidariti teguhnya dengan rakyat Palestin dan komitmen untuk menjaga warisan agama, budaya dan negara mereka.


Dalam masa sama, turut mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page