Malaysia kecam pencerobohan pendatang Israel atas Al-Aqsa
- Azuan Ab Rahman

- 3 hours ago
- 1 min read

Malaysia mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya insiden terbaru pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh pendatang haram Israel.
Kementerian Luar (Wisma Putra), berkata sebarang usaha melakukan proses Yahudisasi terhadap Masjid Al-Aqsa termasuk tindakan mengibarkan bendera Zionis Israel di dalam kawasan suci itu adalah perbuatan keji dan mencemarkan kesucian masjid berkenaan.
"Tindakan terbaru pendatang haram dengan sokongan rejim Zionis Israel, merupakan cubaan untuk mengubah realiti di lapangan serta ciri-ciri budaya, sejarah dan kesucian Masjid Al-Aqsa.
"Tindakan sedemikian adalah bersifat provokatif dan tidak boleh diterima sama sekali, serta jelas mengabaikan peranan penjagaan terhadap tapak-tapak suci Islam di Baitulmuqaddis," tegas Wisma Putra menerusi kenyataan.
Menerusi kenyataan sama Wisma Putra mendesak masyarakat antarabangsa tidak berdiam diri terhadap pencerobohan tersebut yang berlaku secara terang-terangan.
Malaysia turut mengulangi seruannya kepada masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil tindakan segera dan konkrit bagi menghentikan pelanggaran itu serta memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
"Malaysia menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan mengulangi pendirian teguhnya dalam menyokong penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya," tegas kenyataan tersebut.




Comments