Malaysia kecam keras serangan Israel ke atas Iran, tingkat ketegangan
- Suara Keadilan
- Jun 13
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas Iran pada awal pagi ini dengan Wisma Putra menyatakan ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perdana Menteri menegaskan serangan itu merupakan tindakan amat serius dan cuai hingga boleh memburukkan lagi ketidakstabilan di rantau yang sedia rapuh.
"Saya mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel di Iran, termasuk serangan terancang yang telah mengorbankan pemimpin kanan Iran.
"Jelas bahawa matlamatnya adalah untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat dan Iran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata tindakan ketenteraan Israel itu ketika rejim Zionis itu sedang berdepan semakan semula terhadap tindakannya di Gaza serta tekanan politik yang kian memuncak ke atas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Anwar berkata Malaysia menyeru rakan-rakan Israel terutamanya mereka yang mempunyai pengaruh dan kelebihan agar menggunakan segala tekanan yang ada untuk menghentikan sebarang tindakan agresif selanjutnya.
"Masyarakat antarabangsa tidak seharusnya membiarkan tindakan yang menggagalkan usaha diplomatik dan membahayakan keamanan sejagat terus berlaku," tegas beliau.
Dalam pada itu, Kementerian Luar dalam kenyataan berkata serangan itu menimbulkan ancaman serius ke atas keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Tindakan keganasan Israel tanpa provokasi ini bukan sahaja mengakibatkan kematian beberapa anggota tentera Iran, tetapi juga orang awam yang tidak berdosa dan memusnahkan infrastruktur kritikal di beberapa kawasan sekitar Iran, katanya.
"Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel dan memastikan rejim tersebut dipertanggungjawabkan berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam PBB," kata kenyataan yang dimuat naik di laman web Wisma Putra.
Ketika keadaan genting, Wisma Putra berkata semua usaha mesti diambil untuk mengelakkan peningkatan ketegangan dan potensi implikasi yang boleh menggugat kestabilan rantau.
"Dalam konteks ini, Malaysia menyokong usaha berterusan Amerika Syarikat dan Iran untuk menyambung semula dialog diplomatik mengenai program nuklear Iran," kata sambil menegaskan negara ini konsisten dengan pendirian agar semua pihak mendukung undang-undang antarabangsa dengan setiap konflik diselesaikan secara dialog dan diplomasi bagi memastikan keamanan berkekalan.
Comments