Malaysia kecam Israel perluas penempatan haram di Palestin
- Helmi Mohd Foad

- 4 hours ago
- 2 min read

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rancangan terbaharu rejim Zionis Israel untuk memperluaskan penempatan haram bernilai kira-kira AS$2.3 bilion di wilayah Palestin yang diduduki sambil menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan ancaman serius kepada usaha mencapai keamanan yang adil serta berkekalan di Asia Barat.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, pelan itu bertujuan mengukuhkan lagi pendudukan haram Israel selain menafikan hak mutlak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka.
"Peluasan penempatan haram berkenaan melanggar resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Konvensyen Geneva Keempat yang melarang kuasa pendudukan memindahkan penduduknya ke wilayah yang diduduki.
"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB mengambil tindakan tegas bagi menghentikan rancangan berkenaan kerana ia hanya akan memburukkan lagi ketidakstabilan di rantau itu serta menjejaskan prospek penyelesaian dua negara," kata kenyataan itu.
Isu penempatan haram Israel di Tebing Barat menjadi antara pertikaian paling berlarutan dalam konflik Palestin-Israel.
Sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggap penempatan yang dibina Israel di wilayah yang diduduki sejak Perang Enam Hari pada 1967 sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Israel terus meluluskan pembinaan ribuan unit penempatan baharu di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, meskipun menerima kecaman meluas daripada PBB, Kesatuan Eropah dan pelbagai negara yang menyifatkan langkah itu menghakis peluang mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju.
Konflik di Gaza yang berlanjutan sejak Oktober 2023 turut meningkatkan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap peningkatan keganasan di Tebing Barat, termasuk rampasan tanah, pengusiran penduduk Palestin dan perluasan penempatan haram.
Malaysia menegaskan rakyat Palestin telah sekian lama menanggung penderitaan akibat pendudukan haram, perampasan tanah dan pencabulan hak asasi manusia yang berterusan.
"Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pengumuman terbaharu rejim Zionis Israel mengenai pelan peluasan penempatan haram bernilai USD2.3 bilion di Wilayah Palestin yang diduduki.
"Tindakan ini merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan cubaan terancang untuk memperkukuh pendudukan haram rejim berkenaan, serta menafikan hak-hak mutlak rakyat Palestin," menurut kenyataan Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar.
Wisma Putra turut menegaskan Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan mengulangi sokongan terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.




Comments