Malaysia kecam Israel daftar tanah diduduki sebagai 'tanah kerajaan'
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel mendaftarkan tanah diduduki secara haram di Tebing Barat, Palestin sebagai ‘tanah kerajaan’.
Wisma Putra menegaskan tindakan itu merupakan cubaan memperluas dan mengabsahkan penempatan haram, sekali gus mengukuhkan pendudukan tidak sah ke atas wilayah Palestin.
"Tindakan yang belum pernah berlaku sejak 1967 itu merampas tanah Palestin, memperluas aneksasi dan secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat serta Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Resolusi 2334," menurut Wisma Putra.
Wisma Putra menerusi kenyataan sama turut menegaskan semua tindakan rejim itu menyalahi undang-undang antarabangsa sekaligus menjejaskan hak rakyat Palestin dan menggugat prospek penyelesaian dua negara yang adil.
Sehubungan itu, Malaysia sekali lagi menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk kebebasan, keadilan dan penubuhan negara Palestin merdeka berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa menolak langkah tidak sah itu, menuntut Israel bertanggungjawab serta memastikan hak rakyat Palestin termasuk hak ke atas tanah mereka supaya dihormati dan dilindungi.









Comments