Malaysia - Jepun perluas kerjasama baharu lebih progresif
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47)
ULASAN BERITA: Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi telah pun berlepas pulang selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan semalam di Kuala Lumpur.
Lawatan Takaichi ke Kuala Lumpur adalah penampilan diplomatik yang pertama selepas beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Jepun pada 21 Oktober lalu.
Jepun juga mencatat sejarah baharu apabila Takaichi dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama negara tersebut selepas memenangi undian di Parlimen pada tarikh yang sama (21 Oktober 2025).
Kehadiran Takaichi membuka lembaran baharu yang mencatatkan satu lagi sejarah manis kepada Malaysia yang menjadi tuan rumah ASEAN yang berlangsung di Pusat Kovensyen di Kuala Lumpur.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN telah mengadakan mesyuarat dua hala (iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke 28) bersama Takaichi dalam suasana penuh mesra, terbuka dan konstruktif.
Daya tahan ekonomi
Mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun yang melibatkan Anwar dan Takaichi ini berhasil memperkukuh lagi tekad bersama demi memantapkan kerjasama dua hala termasuk dalam bidang keselamatan maritim dan daya tahan ekonomi.

Selain daripada itu kerjasama dua hala juga ditumpukan untuk peralihan hijau serta urusan kemanusiaan yang semakin penting dalam lanskap serantau dewasa ini yang turut dibincangkan oleh mereka.
Mesyuarat juga berlangsung dalam suasana dan semangat saling menghormati serta keakraban yang sedia terjalin antara Malaysia dan Jepun.
Apa yang amat pasti hasilan daripada mesyuarat kedua negara itu, kerjasama baharu akan terus diperluaskan. Kerjasama yang terus diyakini, yang lebih progresif, inklusif dan berdaya tahan demi keamanan serta kemakmuran bersama serantau.
Ini bersesuai dengan ketegasan Kerajaan Jepun yang amat mementingkan hubungan dengan negara-negara Asia Tenggara, kawasan yang menempatkan laluan laut utama dan strategik serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
Kukuh kerjasama dengan Jepun
Sementara itu, PMX sewaktu mengulas berkaitan dengan mesyuarat tersebut, beliau berkata, Malaysia bersedia memperkukuhkan lagi kerjasama dengan Jepun dalam pembangunan unsur nadir bumi, mineral penting dan sektor berkaitan mineral yang lain.

Anwar berkata, Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan dan pelaburan Jepun dalam semua peringkat rantaian industri yang menggunakan teknologi dari negara tersebut.
Jelas PMX lagi, kerjasama itu juga boleh diperluaskan kepada inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama bagi meningkatkan inovasi dalam semua sektor.









Comments