Malaysia gesa pemimpin agama dunia lebih tegas bela kemanusiaan - PM
- Suara Keadilan

- Aug 28
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Malaysia menggesa pemimpin agama dari seluruh dunia supaya tampil lebih berani mempertahankan keadilan, keamanan dan kemanusiaan di tengah kemerosotan nilai moral serta hipokrasi politik global, demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata suara pemimpin agama kini penting kerana masyarakat dunia berdepan defisit kepercayaan terhadap kepimpinan politik.
"Dulu agama pernah digunakan penjajah untuk menundukkan masyarakat tetapi jangan lupa, gerakan anti-kolonial juga dipelopori pemimpin agama kerana mereka percaya pada keamanan, keadilan, kemanusiaan dan maruah insan.
"Saya merayu agar para pemimpin agama kini mengambil kembali peranan itu," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Kedua Pemimpin Agama 2025 di Subang Jaya, Selangor hari ini.
Perdana Menteri Anwar berkata semua agama mengangkat nilai kemanusiaan sejagat dan menolak penindasan dengan prinsip Islam sebagai Rahmatan lil Alamin menuntut umat menjaga bukan sahaja manusia, malah alam sekitar dan keseimbangan kehidupan.
Beliau juga mengingatkan bahawa dialog antara agama perlu disuburkan berdasarkan semangat saling mengenali dan menghormati.
"Dalam Islam, konsep lita’arafu bukan sekadar toleransi, tetapi mengenali, memahami dan menghargai perbezaan. Inilah asas yang harus dipimpin oleh tokoh agama," katanya.
Menyentuh konflik Gaza, Perdana Menteri menyifatkan ia sebagai bukti jelas kehilangan suara nurani dunia.
"Apa yang sedang berlaku di Gaza seharusnya menggugah suara keadilan kita. Setiap hari bayi terbunuh, rumah dimusnahkan dan orang awam dibom tetapi dunia hanya memberi simpati kosong.
"Di manakah suara agama? Di manakah suara keadilan yang berpaksikan nurani?" katanya.
Anwar turut menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan keamanan dalam masyarakat majmuk dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menabur kebencian kaum atau agama.
"Saya percaya pada demokrasi dan kebebasan, tetapi jika ada yang cuba menghancurkan keharmonian dengan menyebarkan kebencian terhadap kaum atau agama lain, kerajaan akan bertindak tegas. Kita mesti pertahankan fabrik negara ini," katanya.
Mengulas kehadiran pelbagai tokoh dunia, Anwar berkata pertemuan itu unik kerana buat julung kali pemimpin dari aliran berbeza termasuk Sunni, Syiah serta wakil Kristian, Hindu dan Buddha dapat duduk semeja.
"Saya baru (datang) dari Parlimen tadi, ada yang bertanya, ‘Oh, di sini ada tokoh Syiah, ada tokoh Sunni, mengapa boleh duduk sekali?’ Saya jawab, mengapa tidak? Mengapa mereka tidak boleh bertemu dan berdialog? Inilah ruangnya," ujarnya.
Persidangan anjuran bersama Rabitah al-‘Alam al-Islami dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu menghimpunkan tokoh pelbagai agama dari seluruh dunia termasuk Setiausaha Agung Rabitah al-‘Alam al-Islami Sheikh Dr. Mohammad Abdul Karim Al-Issa, Pengerusi Universiti Antarabangsa Al-Mustafa, Iran Ayatollah Alireza Arafi, Dr. David Bahn, Swami Paramatmaanda serta wakil Al-Azhar, Dr. Nazir Mohammed Ayyad.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
Anwar menyeru agar persidangan itu dijadikan wadah mengukuhkan peranan agama sebagai penyatu sejagat.
"Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah dunia, tetapi dengan semangat saling memahami, kita mampu memimpin dunia ke arah lebih baik," katanya.









Comments