Malaysia - EU perkukuh kerjasama agromakanan, teknologi pertanian
- Helmi Mohd Foad

- 5 hours ago
- 2 min read

Malaysia komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam sektor agromakanan menerusi penyelidikan, pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta pelaburan bagi memperkasakan keterjaminan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata komitmen itu dizahirkan ketika beliau menerima kunjungan hormat delegasi EU-ASEAN Business Council (EU-ABC) yang diketuai Pengarah Eksekutifnya, Chris Humphrey di Putrajaya pagi tadi.
Menurut beliau, pertemuan itu menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh sektor pertanian, keterjaminan makanan serta kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Kesatuan Eropah.
"Dalam perbincangan tadi, saya berkongsi usaha Malaysia memperkukuh keterjaminan makanan melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).
"Tumpuan kita bukan sekadar meningkatkan pengeluaran makanan malah memperluaskan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), automasi dan pertanian pintar supaya sektor agromakanan negara terus berdaya saing dan mampan," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Mohamad berkata Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa dalam mempercepat pemodenan sektor agromakanan, termasuk menerusi perkongsian kepakaran dan teknologi.
Beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan dan pihak industri diyakini mampu mewujudkan lebih banyak peluang kepada petani, penternak, nelayan serta usahawan agromakanan tempatan.
"Apabila kerajaan dan pihak industri terus berganding bahu, Insya-Allah lebih banyak peluang dapat diwujudkan untuk petani, penternak, nelayan dan usahawan agromakanan kita.
"Saya percaya hubungan erat antara Malaysia dan Kesatuan Eropah akan terus membuka lebih banyak peluang kepada sektor pertanian negara. Yang penting, kita terus bekerjasama, berkongsi kepakaran dan membina sistem makanan yang lebih kukuh demi manfaat rakyat serta keterjaminan makanan negara," katanya.
Dasar Agromakanan Negara 2.0 merupakan pelan hala tuju kerajaan bagi mentransformasikan sektor agromakanan negara ke arah lebih moden, berdaya tahan dan mampan dengan penekanan terhadap peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi serta pengukuhan jaminan bekalan makanan negara.




Comments