Malaysia diiktiraf pengantara, fasilitator keamanan di rantau Asia Tenggara
- Suara Keadilan
- 11 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kuala Lumpur Peace Conference 2025 (KLPC 2025) telah menjadi platform yang mengangkat Malaysia sebagai pengantara dan fasilitator keamanan yang terkenal serta berwibawa di rantau ini.
Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen Malaysia bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Antarabangsa, Howard Lee Chuan How, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai hasil kesepakatan yang dicapai dalam persidangan pada 9 Oktober lalu di sebuah hotel di ibu negara.
Beliau berkata, hasil perbincangan di persidangan tersebut termasuklah mengiktiraf Malaysia sebagai pengantara dan fasilitator keamanan di rantau ini yang tersohor dan mempunyai kredibiliti yang cukup mantap.
''Ini bukan tercatat atas sembang.. tetapi (berdasarkan) sejarah dan apa yang telah dicapai dan pengalaman Malaysia dalam proses damai selatan Filipina dan penglibatan dalam konflik selatan Thailand baru-baru ini.
''Ia membuktikan keupayaan negara kita dalam mengimbangi sensitiviti politik dan geopolitik serantau, terutama dalam menangani isu-isu krisis kemanusiaan seperti yang kita saksikan sendiri di Myanmar.
''Keperluan diplomasi yang berhemah (Kerajaan Malaysia) jelas dapat kita saksikan melalui kejadian yang berlaku antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini,'' katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Sidang media itu diadakan bagi mewakili usaha berterusan Sekretariat Persidangan Keamanan KL 2025 untuk memajukan kepimpinan Malaysia dalam pembinaan keamanan serantau dan mempromosikan prinsip-prinsip yang digariskan dalam Komunike Keamanan KL.
KLPC 2025 menghimpunkan para pemimpin, sarjana, dan pengamal dari seluruh Asia Tenggara serta rantau lain bagi membincangkan usaha memperkukuh keamanan serantau.
Persidangan bertemakan 'Malaysia Menerajui Kewujudan Aman Asia Tenggara: Menyemai Keamanan, Membentuk Masa Hadapan' dianjurkan oleh IMAN Research dengan kerjasama The Nippon Foundation selaku penganjur utama, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM) sebagai rakan akademik, serta Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) sebagai rakan strategik.
Dalam sidang media sama, Pengerusi JKPK Parlimen Malaysia bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Antarabangsa, Wong Chen memohon Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memberikan peruntukan lebih besar kepada Jawantankuasa Pilihan Khas untuk mencapai objektif yang lebih baik sebagai pengimbang dasar dasar yang dibuat Dewan Rakyat.
''Kita kini berada di tengah-tengah sesi bajet dan saya ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan PM Anwar bahawa walaupun beliau bercadang memberi RM5 juta untuk 10 jawatankuasa pilihan khas (RM500 ribu setiap satu), pada zaman Datuk Seri Ismail Sabri, jumlah yang diberikan (kami terima) ialah RM1 juta.
''Oleh itu, Kerajaan MADANI perlu melakukan pembaharuan terhadap jumlah tersebut. Jika kami tidak mendapat bajet yang mencukupi untuk Jawatankuasa Pilihan Khas, sukar bagi kami melaksanakan tugasan dengan baik.
''Sekurang-kurangnya sekarang, kami memohon RM2 juta bagi setiap jawatankuasa. Jika hanya separuh daripada jumlah itu diberikan iaitu RM1 juta, saya masih boleh mengundang pakar dari Jepun atau Thailand untuk memberi taklimat kepada kami.
''Jadi saya berharap PM Anwar dapat mendengar rayuan kami supaya memperoleh bajet yang lebih besar untuk jawatankuasa terpilih,'' ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Subang.