Malaysia diiktiraf destinasi pelancongan kesihatan nombor satu dunia
- Suara Keadilan
- May 29
- 1 min read

Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab pelancongan kesihatan bertaraf antarabangsa apabila dinobatkan sebagai destinasi pelancongan perubatan nombor satu dunia, mengatasi negara-negara seperti Singapura dan India.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyifatkan pengiktirafan oleh firma global berpangkalan di Dubai, Nomad Capitalist, sebagai bukti bahawa standard penjagaan kesihatan di Malaysia semakin diiktiraf di peringkat global.
"Pengiktirafan ini sekali gus memperkukuh usaha kerajaan dalam memposisikan pelancongan kesihatan sebagai salah satu sektor strategik negara yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara mampan dan inklusif," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Dzulkefly memaklumkan, pada tahun 2023 sektor pelancongan kesihatan berjaya menjana pendapatan melebihi RM2 bilion, hasil kunjungan lebih 1.3 juta pelancong kesihatan dari seluruh dunia, khususnya dari rantau Asia.
"Kejayaan ini didorong oleh kepakaran tenaga perubatan tempatan, kualiti rawatan bertaraf antarabangsa, serta layanan mesra berasaskan nilai murni rakyat Malaysia.
"Tidak lupa kerjasama erat antara petugas kesihatan awam dan swasta, pelabur serta rakan strategik yang bersama-sama mengangkat imej Malaysia sebagai destinasi rawatan pilihan di peringkat antarabangsa," jelasnya.
Menerusi kenyataan sama, Dr Dzulkefly merakamkan penghargaan kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) atas dedikasi dan komitmen tinggi dalam menjayakan agenda nasional ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) tegasnya akan terus komited untuk memperkasa penjagaan kesihatan primer, memacu transformasi digital sistem kesihatan bagi memastikan sistem yang saksama, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Comments