PAU25: UMNO Komited Pertahan Kerajaan Perpaduan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
Ulasan Berita PAU25: Perhimpunan Agung UMNO ke 25 yang berlansung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur sudah pun berakhir petang semalam.
Lebih tiga ribu perwakilan UMNO yang berhimpun bermula pada 14 Januari lalu sudah pun pulang ke destinasi masing-masing berbekalkan suntikan semangat untuk meneruskan perjuangan mengikut kemampuan mereka.
Bagi yang 'anti dan iri hati' dengan kesepakatan yang terjalin erat dalam Kerajaan Perpaduan pasti kehampaan kerana hal yang pasti UMNO komited untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penulis yang mengikuti perhimpunan dan memperhalusi ucapan-ucapan daripada pemimpin serta pembahas mewakili negeri menyimpulkan bahawa tiang seri Kerajaan Perpaduan yang telah dibina lebih tiga tahun lalu semakin kukuh serta sukar digugat.
Satu perkara yang amat nyata dalam Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berakhir semalam ialah parti itu kekal komited untuk mempertahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga habis penggal.
Semua mahu Kerajaan Perpaduan dikekalkan
Daripada ucapan perasmian, perbahasan perwakilan sehingga kepada ucapan penangguhan, semuanya mahu Kerajaan Perpaduan ini dikekalkan.

Meskipun ada beberapa kritikan kepada parti lain, wujud perbezaan dalam beberapa isu atau perlaksanaan dasar-dasar tertentu kerajaan yang tidak dipersetujui, tetapi tiada desakan agar UMNO keluar kerajaan diluahkan.
UMNO boleh dikata sepakat menerima keberadaan parti itu dalam kerajaan dan mahu ia terus dipertahankan.
Sebarang kelemahan dan perbezaan, jika ada yang masih wujud, ia malah disepakati untuk diatasi secara bersama.
Bahkan ketika ucapan penangguhan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beliau turut memberi jaminan tidak akan membenarkan sebarang “tebuk atap” daripada berlaku.
Jaminan UMNO
Di sebalik wujud pelbagai desakan daripada pihak luar, UMNO nampaknya sedar kepentingan parti itu kekal berada dalam kerajaan mengatasi segala-galanya.
Dengan jaminan UMNO itu, selain semua parti dalam kerajaan boleh terus bertungsi sebaik mungkin memastikan dasar-dasar membela rakyat berjalan dengan baik, ia juga memberi ruang yang lebih selesa untuk masing-masing kekal fokus menghadapi PRU akan datang.
Sebagaimana semua parti dalam Kerajaan Perpaduan boleh berfungsi melaksanakan dasar-dasar kerajaan, mereka semestinya juga tidak masalah untuk terus mendapat sokongan rakyat ketika pilihanraya diadakan.
Kesepakatan selama sepenggal yang berjaya dipertahankan ini memberi harapan yang cerah untuk kuasa diteruskan lagi bagi penggal yang kedua.









Comments