PM bakal lancar Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 minggu ini
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, 20 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut satu kenyataan, pelan strategik nasional itu merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
RPN berkenaan diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang mencerminkan iltizam Kerajaan Madani dalam memperkukuh sistem pendidikan yang bermutu, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.
"KPT dan KPM memaklumkan pelancaran RPN 2026–2035 merupakan komitmen kerajaan untuk membina sistem pendidikan negara yang lebih kukuh, responsif dan mampan dalam mendepani cabaran masa depan," lapor Bernama memetik kenyataan berkenaan.
Bagi peringkat pendidikan tinggi, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 akan menjadi dokumen hala tuju utama pembangunan sektor tersebut bagi tempoh 10 tahun akan datang, menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi).
"RPTM 2026–2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 pakar tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan, termasuk sarjana, tokoh akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, pihak industri serta wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang," katanya.
Menurut KPT dan KPM, dokumen RPTM 2026–2035 bersifat dinamik serta fleksibel, bagi memastikan ia kekal relevan dan responsif terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi.
“Fokus utama pelan ini turut merangkumi pembangunan bakat pembina negara yang dipacu matlamat, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.
Selain itu, integrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi pemboleh daya penting dalam kurikulum dan penyelidikan bagi melahirkan pencipta serta peneraju teknologi masa hadapan.
Pada masa sama, pelan berkenaan turut menekankan aspek keterangkuman akses pendidikan tinggi, termasuk usaha memperluas peluang pendidikan serta memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau.
Sementara itu, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diterajui KPM akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan negara, selaras dengan Visi KPM: Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.
Rancangan tersebut digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi, dengan penekanan kepada peningkatan akses dan kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid, transformasi pendidik, pemantapan prasarana dan infostruktur, kerjasama pihak berkepentingan serta pengukuhan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian.









Comments